Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengesahkan Setiausaha Agung sebelum ini iaitu Dr Johan Kamal Hamidon, kini menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Selangor FC selepas pasukan itu diswastakan bermula semalam.
Selangor FC merupakan sebuah kelab bola sepak profesional yang sah diswastakan di bawah Red Giants FC Sdn Bhd.
Red Giants FC Sdn Bhd adalah sebuah entiti yang menguruskan kelab ini secara profesional dan dimiliki oleh beberapa pemegang saham seperti Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor (selaku pemegang saham utama), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FA Selangor.
Seorang lagi watak penting dalam pembangunan bola sepak Selangor, Muhammad Izrin Nabil, yang sebelum ini memegang portfolio Ketua Unit Pertandingan FA Selangor pula telah dilantik bagi mengambil alih tugas Setiausaha Agung FA Selangor.
Beliau berpengalaman luas dalam menguruskan program pembangunan dan pertandingan liga-liga di bawah FA Selangor, disamping peranan mengangkat liga amatur seperti Selangor Champions League ke satu tahap yang baru.
Dari sudut kepimpinan tertinggi organisasi, kedua-dua entiti ini kekal bernaung di bawah kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor selaku Pengerusi Kelab dan Presiden Persatuan.
“Melalui penswastaan ini, Beta melihat hala tuju entiti kelab bola sepak Selangor sejajar dengan industri bola sepak moden kerana ia lebih bersifat progresif, membangun, dan memandang ke hadapan. Ia mampu mendorong pelabur tempatan dan asing untuk terlibat dalam sukan bola sepak dan dalam masa yang sama, kita dapat memberi fokus sepenuhnya kepada dua misi berbeza dalam satu masa, melalui SFC dan FAS.” jelas pemilik Selangor FC Tengku Amir Shah.
“Beta cukup mengenali Johan (Dr. Johan) dan Nabil (Izrin Nabil) kerana telah bekerjasama dengan beta sejak dahulu lagi. Mereka merupakan individu yang komited dan jujur dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan, terutamanya dalam pembangunan bola sepak di negeri ini sejak lima tahun yang lalu,” kata Tengku Amir.
“Beta berharap agar rakyat Selangor dan penyokong pasukan Gergasi Merah, boleh memberikan kepercayaan dan kerjasama kepada dua individu ini dalam usaha mereka untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor,” tambah baginda.
Apakah perbezaan antara FA Selangor & Selangor FC dan juga misi kedua-dua entiti ini? #RedGiants#KitaAdalahSatu pic.twitter.com/Mvu3LVBPbQ
— Selangor FC (@selangorfc) December 1, 2020
Melalui proses penswastaan ini, perbezaan peranan yang lebih jelas akan dapat dilihat di antara FA Selangor dan Selangor FC.
“FA Selangor akan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi Selangor manakala Selangor FC akan berusaha dalam pembangunan bola sepak elit dan pengkomersialan bola sepak Selangor di peringkat profesional,” jelas Izrin Nabil selaku Setiausaha Agung FA Selangor yang baharu.
“Dengan berlakunya pemisahan antara kedua-dua entiti ini, pengurusan persatuan akan memberi fokus sepenuhnya dalam memperkasakan bola sepak negeri Selangor di semua peringkat akar umbi, tanpa terikat dengan komitmen kepada pasukan bola sepak utama negeri yang bertanding di liga Malaysia. Jujurnya, masih ada jurang perbezaan yang tinggi dalam pembangunan bola sepak wanita dan futsal di Selangor jadi kami akan memastikan pembangunan untuk kedua-dua cabang ini.”
“Akan ada halangan yang akan FAS tempuhi seperti usaha mengembangkan bola sepak peringkat akar umbi yang kini sangat terkesan dengan pandemik COVID-19. Ia adalah cabaran besar yang kami perlu lakukan untuk menyuburkan semula program pembangunan bola sepak di negeri Selangor dan kami perlukan sokongan penyokong Selangor untuk memastikan agenda ini kembali aktif dan kembali ke landasan yang tepat,” tambah Nabil.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah:
Yusri Che Lah Terima Tawaran Bimbing Skuad Pelapis Ala Harimau Muda
https://www.vocketfc.com/media-sepanyol-ini-dedahkan-kelab-dari-malaysia-buru-khidmat-diego-rola