Pemain pertahanan skuad negara, Dominic Tan jelas tidak terkesan dengan kritikan yang dilemparkan terhadapnya susulan aksi ditampilkannya pada aksi ketiga kumpulan B Piala AFF Suzuki 2020 bertemu Vietnam pada Ahad lalu.

Dominic diberikan peluang beraksi buat pertama kali dalam kempen yang berlangsung di Singapura itu selepas beliau dimasukkan pada minit ke-24 bagi menggantikan pertahanan berpengalaman, Aidil Zafuan Abd Radzak ekoran kecederaan hamstring dialaminya.

Peluang tersebut bagaimanapun umpama satu igauan buat Dominic apabila jentera serangan Vietnam kelihatan begitu mudah untuk mengkucar-kacirkan kubu skuad negara sehingga berjaya menjaringkan tiga gol.

Malah tindak-tanduk pemain pertahanan berusia 24 tahun itu ketika beraksi turut dipersoalkan pemerhati bola sepak.

“Pada saya setiap orang boleh memberikan pandangan sendiri dan ia bukan masalah untuk kami,” ujar Dominic menurut laporan dikeluarkan Bernama.

“Saya tahu kenapa saya lakukannya dan selagi saya tahu saya telah lakukan kesilapan, saya boleh perbaikinya”

“Saya tidak perlu untuk buktikan kepada sesiapa kerana saya dan pasukan lakukannya demi keluarga dan negara. Paling penting sekali, kami mahu berikan permainan yang terbaik dan dapatkan tiga mata (bertemu Indonesia).”

Khidmat Dominic Tan pasti akan sekali lagi ditagih apabila duo pertahanan, Aidil Zafuan dan Shahrul Mohd Saad disahkan tidak akan beraksi pada perlawanan terakhir atau misi hidup atau mati bertemu Indonesia, Ahad ini.

Sumber