Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia sebagai rujukan bagi semua pihak memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak negara.

Menurut kenyataan daripada FAM, DNA tersebut adalah manifestasi falsafah bola sepak negara yang turut merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi semua peringkat umur, dari peringkat akar umbi hingga elit.

Ig juga dipanggil sebagai “The Malaysian Way” atau Cara Malaysia, harus menjadi garis panduan dan rujukan kepada pemain, jurulatih serta tenaga pengajar jurulatih dari peringkat bawah hingga ke peringkat tertinggi.

“Kajian mengenai DNA Bola Sepak ini diketuai oleh Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo seawal Oktober 2017 dan ia merangkumi kaedah permainan yang menitik beratkan etika kerja sepasukan, dengan menyerang secara teratur dan bertahan secara berpasukan.

“Secara umumnya, DNA bola sepak Malaysia adalah petunjuk kepada semua pihak bagaimana untuk bermain dengan corak permainan yang sama dan seragam, dari peringkat paling bawah hingga ke peringkat senior.

“Sasaran kita ialah melahirkan pemain yang benar-benar bermain cara DNA Malaysia pada 2030 sejajar kemuncak peta Hala Tuju F:30,” kata Timbalan Presiden FAM yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia, Dato’ Sri Subahan Kamal.

20190709_155046
FOTO: FAM

Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo menjelaskan “Cara Malaysia” boleh digambarkan menerusi corak permainan pasukan kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe sebagai manifestasi DNA Bola Sepak Malaysia, dengan menggunakan transisi dari penjaga gol ke kubu lawan menerusi lapan hantaran membabitkan tujuh pemain dalam masa 20 saat ketika Syahmi Safari menjaringkan gol menentang Thailand pada Piala AFF Suzuki 2018.

“Negara-negara yang paling berjaya di dunia dan bahkan di Asia, sudah mula bekerja bertahun-tahun lalu dengan cara yang seragam untuk membangunkan pemain dan corak permainan tersendiri dengan mengembangkan DNA Bola Sepak masing-masing,” kata de Roo.

Menurutnya, DNA Bola Sepak Malaysia adalah kunci untuk perkembangan pemain dan jurulatih. Ia akan memberikan pendekatan yang konsisten dan akan memudahkan pemain dan jurulatih untuk melaksanakan di setiap peringkat.

“DNA Bola Sepak Malaysia akan melahirkan lebih banyak jurulatih yang berpengalaman, dan akan mengangkat standard pemain Malaysia ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.

Butiran lengkap dan kandungan DNA Bola Sepak Malaysia boleh dimuat turun di sini.

Sumber