Pembantu jurulatih skuad kebangsaan Senegal, El Hadji Diouf mengakui barisan pemainnya akan melakukan segalanya untuk mengejutkan England pada aksi pusingan 16 Piala Dunia 2022.

Baca Juga:

Layak ke pusingan kalah mati selepas berjaya menundukkan Ecuador pada aksi terakhir kumpulan A, Senegal semakin yakin untuk meneruskan kemaraan dan tidak gentar berdepan England.

Senegal juga memiliki 10 orang pemain yang sudah memahami corak permainan serta keupayaan England kerana mereka beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan EFL Championship.

Malah, Diouf dan pengurus pasukan, Aliou Cisse turut memiliki pengalaman beraksi bersama kelab dalam saingan liga paling popular di dunia itu.

“Saya tidak pernah mengatakan bahawa Senegal tidak boleh mencatatkan kemenangan. Ia mengingatkan saya ketika kami bertemu Perancis [aksi Piala Dunia 2002],” ujar Diouf menurut laporan The Guardian.

“Mereka [Perancis] menganggap sudah pun memperoleh kemenangan sebelum beraksi [akhirnya Senegal menang 1-0] dan saya merasakan England juga pada hari ini berfikir sedemikian dimana ia bagus untuk kami.”

“Kami tiada apa untuk dipertontonkan kepada dunia. Jika anda melihat pasukan kami, kami mempunyai Edouard Mendy, kami juga mempunyai Kalidou Koulibaly [kedua-dua dari Chelsea].”

“Kami mempunyai ramai pemain yang bagus di England. Beberapa orang bermain di Championship tetapi merupakan pemain berkualiti EPL seperti Ismaila Sarr (Watford). Ia adalah untuk menunjukkan betapa bagusnya mereka ini.”

“Perlawanan ini akan menjadi aksi yang menarik kerana England merupakan pasukan yang bagus, mempunyai pemain yang bagus. Saya tahu kami bukanlah pasukan pilihan tetapi kami akan melakukan segalanya untuk menewaskan mereka dan para pemain mampu melakukannya.”

“Para pemain sudah bersedia. Mereka berlatih dengan keras dan kami mempunyai semangat yang baik serta hanya perlu untuk meneruskannya,” tambah Diouf lagi.

 

Sumber