Pemain kacukan negara, Dion Johan Cools menyasarkan kemenangan bagi Malaysia apabila bertemu Vietnam pada perlawanan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 12 Jun ini.
Meskipun belum pernah berdepan Vietnam, namun Dion menegaskan beliau kagum dengan kualiti yang dimiliki oleh skuad bimbingan Park Hang-seo itu.
“Esok adalah satu perlawanan yang cukup penting. Kami telah melakukan persiapan yang cukup baik. Kami telah berlatih dan sudah bersedia untuk berdepan Vietnam.
“Saya harap Malaysia meraih keputusan yang baik. Sudah pasti kekalahan 4-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) sukar untuk diterima. Kami tidak beraksi dengan baik pada perlawanan tersebut.
“Kami perlu meraih kemenangan. Saya telah berlatih dengan baik bersama pasukan dan sudah menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan. Saya tidak sabar untuk turun beraksi,” kata Dion Cools.
Dion dijangka kekal dalam kesebelasan utama sekaligus menjadi pemain sandaran di bahagian pertahanan pasukan negara.
Pada perlawanan menentang UAE, bekas pemain skuad B-19 tahun Belgium itu digandingkan dengan ketua pasukan, Aidil Zafuan di barisan pertahanan tengah.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan di sini:
Guilherme De Paula Tekad Tampilkan Prestasi Terbaik Menentang Vietnam