Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham menepis dakwaan sesetengah peminat yang mengatakan beliau hanya pandai berbual sahaja.

Ekoran krisis yang berlaku dalam pasukan ketika ini, ramai peminat melabel Norizam sebagai Zambual yang bermaksud beliau hanya mampu berbual dan tidak menjalankan kerja dengan baik.

Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, Norizam menegaskan mengapa dakwaan tersebut tidak benar dan menjelaskan perkara yang beliau telah lakukan untuk pasukan.

“Empat tahun dulu pun ada panggil saya bual. Tahun 2020, ketika Bapa Wan Kuzain dan Wan Kuzri tidak jadi beli Kelantan. Saya dikatakan hanya sembang dan bual sahaja. 3 September 2020, saya beli dan buat pasukan dari bawah.

“Hari ini, saya bukan terdesak nak jual Kelantan. Kelab tiada hutang, saya dah selesaikan semua. Saya hanya jual kepada yang betul-betul bersungguh termasuk mampu untuk tunjukkan ‘proof of fund’ sebelum saya teruskan perjanjian.

“Empat tahun dulu saya sembang, hujungnya saya buat. Hari ni saya bual, inshaAllah hujungnya saya akan buat,” kata Zamsaham.

Dua pihak iaitu Datuk Seri Vida dan juga pemilik Erfan Gym And Fitness iaitu Erfan Akif atau Erfan Lee Ruslan berminat untuk membeli TRW Kelantan dari Zamsaham.

Sebelum ini, Norizam telah meletakkan tanda harga RM5 Juta kepada mana-mana pihak yang berminat untuk membeli Kelantan.

Erfan dilaporkan bersedia untuk membeli Kelantan walaupun harganya mencecah RM10 juta kerana beliau mempunyai perniagaan yang kukuh serta kewangan yang cukup baik.

“Saya terbuka untuk membeli Kelantan samada sebagai pemilik penuh atau jika Zamsaham mahu kekal sebagai pemilik, saya juga sedia jadi penaja utama atau pemegang saham terbesar.

“Ini tertakluk pada situasi menang-menang, jika saya lihat sesuai, saya terbuka dengan apa juga rancangan beliau (Zamsaham),” kata Erfan.