Kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) nampaknya sudah tidak mampu menahan kesabaran untuk mengawal Kylian Mbappe apabila telah mengenepikan bintang tersebut daripada turut serta menyertai sesi latihan pra-musim kelab tersebut di Jepun.

Bukan itu sahaja malah pengurusan tertinggi Les Parisiens juga kini sudah bersedia untuk menjual pemain tersebut pada musim ini.

Hal ini kerana Mbappe masih belum menandatangani kontrak lanjutan kerana ingin kekal semusim bersama pasukan dan dikatakan akan meninggalkan Perancis secara percuma pada musim hadapan bagi menyertai satu lagi kelab gergasi Eropah iaitu Real Madrid.

PSG yang diketuai Nasser Al-Khelaifi selaku Presiden telah memberikan kata dua serta pilihan kepada Mbappe samada menandatangani kontrak lanjutan atau meninggalkan kelab tersebut.

“Kedudukan saya sangat jelas. Saya tidak mahu untuk mengulanginya pada setiap masa,’’ ujar Nasser dalam kenyataannya menurut laporan The Guardian.

“Sekiranya Kylian mahu kekal, kami mahu dia untuk kekal. Tetapi, dia perlu untuk menandatangani kontrak baharu.’’

“Kami tidak mahu kehilangan pemain terbaik di dunia secara percuma. Itu tidak mungkin akan berlaku. Dia juga mengatakan tidak akan meninggalkan pasukan secara percuma.’’

“Bukan salah saya dia sudah berubah fikiran sekarang ini. Kami tidak kehilangan pemain terbaik di dunia secara percuma. Itu merupakan perkara sangat jelas,’’ tambah Nasser lagi.

Masa depan Kylian Mbappe bersama PSG sering menjadi perhatian ramai selepas beliau dilihat mempunyai peranan yang cukup besar dalam mempengaruhi segala hal di kelab tersebut.

Sumber