Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan tanpa berselindung memuji sumbangan berkesan dipamerkan para pemainnya terutama pemain import dalam meletakkan skuad kendaliannya di kedudukan membanggakan pada ketika ini.
Selepas mengharungi 16 aksi Liga Super Malaysia 2022, Negeri Sembilan kini menghuni tangga ketiga dengan mengumpul 32 mata hasil sembilan kemenangan, lima keputusan seri dan dua kekalahan.
Kedudukan yang menyaksikan Negeri Sembilan hanya ketinggalan dua mata dibelakang pasukan tempat kedua, Sabah tetapi skuad Badak itu masih kekurangan satu perlawanan.
Beliau berharap keyakinan tinggi yang sedang dirasai dalam pasukan akan mampu terus diterjemahkan apabila sekali lagi mereka bakal bertandang ke Lembah Klang pada Khamis ini untuk berdepan Kuala Lumpur City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
“Pemain faham akan tanggungjawab mereka semasa kami melakukan serangan dan situasi bertahan selain kedudukan mereka di tangga ketiga juga memberikan motivasi untuk terus tampil bersemangat dalam tiap perlawanan.”
“Saya berpuas hati dengan sumbangan semua pemain import seperti Gustavo dan Herold Goulon, begitu juga Omid Nazari yang meningkat persembahannya selepas saya meletakkan dia di posisi tengah selain pemain tempatan yang sentiasa bekerja keras.”
“Kami akan melalui satu lagi perlawanan yang cukup sukar iaitu bertemu KL City dan saya boleh katakan ini akan menjadi antara aksi paling sukar kerana lawan dalam situasi amat mahukan kemenangan.”
“Bagaimanapun, saya yakin dengan kemampuan Negeri Sembilan yang berada di tahap keyakinan tertinggi pada masa sekarang malah mereka bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja,” tambah K. Devan lagi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Selepas Tinggalkan JDT, Haydee Agras Kini Jadi Pengulas La Liga