Perebutan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sedang menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila Tan Sri Annuar Musa kembali dicalonkan untuk jawatan itu bagi menggantikan tempat Bibi Ramjani Illas Khan yang telah meletak jawatannya secara sukarela.

Selain Annuar Musa, seorang ahli perniagaan muda, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz turut mencabar kerusi presiden KAFA bersama dua lagi calon lain pada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) persatuan itu pada 6 Julai ini.

Jika dibandingkan dengan calon lain, Datuk Seri Amril Aiman sudah pun mempunyai 16 pelan tindakan bagi mengembalikan semula reputasi bola sepak Kelantan.

63980756_2211620805580907_2428345496654315520_n
Datuk Seri Amril Aiman bersama seorang staff Johor Darul Ta’zim (JDT). FOTO: Facebook The Red Warriors Malaysia

Dengan menggunakan slogan ‘Bola sepak dalam lingkungan ajaran Islam’, katanya dalam Arena Metro memberi jaminan bertanggungjawab sepenuhnya menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda bola sepak Kelantan sekiranya diberi mandat kelak.

“Saya merangka 16 pelan tindakan untuk proses tranformasi KAFA termasuk bertanggungjawab sepenuhnya dengan kos pengurusan pasukan Liga Perdana, Piala Presiden, dan Piala Belia untuk tempoh 2019 hingga 2023.

“Hasrat paling utama ialah memartabatkan Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) ke arah pembentukan pemain dari peringkat akar umbi dan perubahan drastik ke atas cara pemilihan pemain dengan menubuhkan jawatankuasa pemilihan yang diketuai ketua jurulatih.

“Saya juga bersetuju menyelesaikan hutang lapuk KAFA membabitkan bekas pemain seperti yang dilaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)” jelasnya.

Amril Aiman pernah bertugas sebagai pengurus skuad Piala Belia Kelantan (2017) dan penolong bendahari dalam barisan kepimpinan KAFA selepas Bibi Ramjani menang pada kongres pemilihan September 2017.

Malah, beliau juga mempunyai rancangan untuk mengaktifkan kembali Liga Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dan meneruskan projek penswastaan pasukan pada tahun 2021.

“PBJ juga akan memiliki pejabat rasmi sendiri untuk memastikan pengurusan lebih sistematik, di samping membantu PBJ menjana keuntungan bagi menampung kos pengurusan.

“Saya juga merancang untuk menswastakan pasukan pada tahun 2021 dan merangka pembangunan futsal (lelaki dan wanita) dan bola sepak pantai negeri ini,” katanya.

Sumber