Pengendali skuad B-22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan semua pasukan memiliki peluang sama rata untuk meraih pingat dan berpendapat temasya Sukan SEA kali ini berbeza dengan temasya sebelum ini.
Menurut Datuk Ong, faktor dua pemain lebih umur yang dibenarkan untuk beraksi bersama-sama bakal memainkan peranan besar dalam menentukan perjalanan pasukan masing-masing.
“Setiap pasukan mahu menang (pingat emas) dan saya percaya Sukan SEA kali ini akan berbeza sekali dari Sukan SEA lepas kerana ini kali pertama dua pemain lebih umur dibenarkan bermain, dan ini menjadikan semua pasukan dalam Kumpulan A dan B, seimbang,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Bagi mengisi kuota pemain lebih usia 22 tahun, Datuk Ong memilih pemain pertahanan Kuala Lumpur, Irfan Zakaria dan pemain Johor Darul Ta’zim, Adam Nor Azlin bagi memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan.
Pemilihan kedua-dua pemain ini menjadikan benteng pertahanan negara akan dikawal oleh pemain sama ketika meraih pingat emas pada temasya 2017 di Kuala Lumpur iaitu Adam, Irfan serta Dominic Tan.
Memandangkan ketiga-tiga pemain ini sudah lama beraksi di bawah bimbingan Datuk Ong, mereka dijangka menjadi pemain yang kerap diturunkan bagi memastikan pintu gol pasukan negara tidak dibolosi.
Malaysia akan memulakan kempen Sukan SEA bertemu Myanmar esok, diikuti Filipina (29 November) , Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember). Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal.
Baca artikel lain mengenai pasukan B-22 tahun negara di sini:
Wan Kuzain Terkilan Tidak Dapat Beraksi Di Temasya Sukan SEA 2019
Datuk Ong Kim Swee Umum Skuad Sukan SEA, Wan Kuzain Tiada Dalam Senarai Ke Filipina
Pengkritik Bola Sepak Negara Persoal Ketiadaan Safawi Rasid Dalam Skuad Sukan SEA 2019