Pemain tengah yang beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS) bersama Sporting Kansas City, Wan Kuzain Wan Kamal terkilan kerana tidak dapat mewakili Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Wan Kuzain meluahkan rasa terkilan beliau menerusi laman media sosial Twitter miliknya dimana beliau berharap dapat beraksi namun ada beberapa faktor yang menyebabkan beliau tidak dapat terbang ke Filipina.

“Terkilan kerana tidak dapat mewakili Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2019 yang akan datang. Saya berharap semua akan berjalan lancar dan membenarkan saya beraksi untuk mengambil bahagian.

“Namun perkara itu tidak menjadi kenyataan buat masa ini. Selamat maju jaya kepada pasukan di Filipina nanti,” kata Wan Kuzain.

Pengendali skuad B-22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee tidak menyenaraikan Kuzain kerana masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup.

Dalam senarai kali ini, Datuk Ong hanya menyenaraikan Quentin Cheng serta Hadi Fayyadh Abdul Razak bagi pemain yang berpangkalan di luar negara.

Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan A berdepan Myanmar pada Isnin, 25 November 2019 diikuti perlawanan menentang tuan rumah, Filipina pada Jumaat, 29 November 2019.

Selepas itu, baki dua lagi aksi peringkat kumpulan adalah bertemu Timor-Leste pada Isnin, 2 Disember 2019 dan Kemboja pada Rabu, 4 Disember 2019. Kesemua empat perlawanan ini di Stadium Memorial Rizal, Manila.

Baca artikel lain mengenai Wan Kuzain Wan Kamal di sini:

Datuk Ong Kim Swee Umum Skuad Sukan SEA, Wan Kuzain Tiada Dalam Senarai Ke Filipina

Sukan SEA 2019: Wan Kuzain Mungkin Sertai Skuad Malaysia B-22 Pada Minggu Hadapan