Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menyampaikan amanat dan kata-kata semangat kepada pemain Harimau Malaya sebelum berlepas ke Singapura untuk menghadapi Piala Suzuki AFF 2020. 

Beliau menganggap 24 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe adalah barisan terbaik yang Malaysia ada berdasarkan prestasi mereka dalam saingan liga domestik.

FOTO: FAM

“Pemain-pemain yang ada ini saya anggap mereka sebagai yang terbaik menerusi gabungan pemain muda seperti Mukhairi Ajmal, Luqman Hakim dan Arif Aiman; pemain-pemain pada usia pertengahan seperti Safawi Rasid, pemain senior berpengalaman seperti Aidil Zafuan, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi, pemain warisan seperti Dion Cools, Junior Eldstal dan Quentin Cheng serta pemain naturalisasi, Guilherme de Paula.

“Apabila anda sudah masuk ke dalam pasukan dan menyarung jersi Harimau Malaya, saya mahu semua pemain ini beri segalanya yang terbaik yang mereka ada dan fokus sepanjang kejohanan berlangsung.

“Sudah pasti 20 pemain yang akan berlepas dari Kuala Lumpur ini serta empat pemain dari luar negara yang akan menyertai pasukan di Singapura nanti iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan, Luqman Hakim dan Dion Cools saya kira sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab masing-masing dalam membawa nama Malaysia.

“Pentas Asia Tenggara ini sepatutnya tiada masalah buat mereka dan ingin saya tegaskan di sini bahawa yang kali ini, kita mesti mengalahkan Vietnam bagi membuktikan yang Malaysia juga sebenarnya sama kuat dan hebat,” kata Datuk Haji Hamidin.

FOTO: FAM

Skuad Harimau Malaya akan membuka kempen saingan Kumpulan B bertemu Kemboja pada Isnin ini (6 Disember) diikuti aksi berikutnya menentang Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember) bagi memburu dua tempat teratas ke separuh akhir.

Dalam pada itu, Datuk Haji Hamidin turut menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama penyokong Harimau Malaya untuk mendoakan kejayaan pasukan.

“Kita telah sama-sama bersorak dan menyokong skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2018 dan ternyata ia telah menjadi pembakar semangat yang mendorong para pemain berjaya membawa kita muncul naib juara ketika itu.

“Kali ini, tidak mustahil untuk kita mengulangi kejayaan mara ke final itu dan menjulang pula piala biarpun saya sedar kekangan akibat pandemik COVID-19 ini telah menyukarkan kita semua untuk hadir ke Singapura.

“Tapi sama-sama kita di tanah air mendoakan kejayaan pasukan dan terus memberi sokongan padu biarpun dari jauh,” ujar Datuk Haji Hamidin.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Aidil Zafuan Dipilih Berdasarkan Pengalaman Di Pentas Antarabangsa

Harimau Malaya Diberi Sasaran Layak Ke Final Piala Suzuki AFF 2020

Harimau Malaya Hanya Ada Tiga Hari Buat Persiapan Hadapi Piala Suzuki AFF 2020

Piala Suzuki AFF 2020: Harimau Malaya Akan Beraksi Di Stadium Bishan