Skuad negara terlepas peluang untuk menggunakan khidmat penjaga gol Sabah, Damien Lim Chien Khai dan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nathaniel Shio Hong Wan untuk menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Syria dan China pada September nanti.

Baca Juga:

Hal ini kerana kedua-dua pemain tersebut terpaksa diketepikan daripada sesi latihan pusat skuad kebangsaan yang bermula hari ini ekoran kecederaan.

Perkembangan terkini itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan rasmi oleh Ketua Jurulatih, Kim Pan-Gon.

“Penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Azri Ab Ghani yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia telah dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula hari ini bagi persiapan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Syria dan China, 6 dan 9 September ini di Chengdu, China.”

“Azri, 24, akan menggantikan tempat penjaga gol Sabah FC, Damien Lim yang tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini selepas disahkan mengalami kecederaan.”

“Sementara seorang lain pemain iaitu pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Nathaniel Shio Hong Wan juga tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini selepas turut disahkan mengalami kecederaan.”

“Namun, buat masa ini tiada sebarang penggantian pemain dari Senarai Bersedia bagi mengisi tempat Hong Wan untuk menjadikan skuad panggilan kali ini disertai seramai 25 orang pemain.”

“Semoga Damien dan Hong Wan cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang.”