Muncul sebagai pemain paling konsisten beraksi di atas padang sepanjang musim 2021, Daniel Ting kini tekad untuk mewakili skuad kebangsaan bagi Piala AFF Suzuki 2020 yang dijadual berlangsung pada 5 Disember depan.
Meskipun tidak tersenarai dalam skuad Tan Cheng Hoe pada siri perlawanan persahabatan di Jordan pada Oktober, Daniel tidak mahu berputus asa untuk menarik perhatian ketua jurulatih Harimau Malaya bagi mengisi slot pertahanan kiri sebelum ini menjadi milik pemain Johor Darul Ta’zim, Corbin Ong.
Susulan laporan sebelum ini berhubung gesaan peminat agar Cheng Hoe memanggil Daniel, pertahanan Kuala Lumpur City FC itu menegaskan beliau amat bersungguh-sungguh mahu mendapatkan kaps pertamanya di peringkat antarabangsa.
“Tan Cheng Hoe telah menghubungi Bojan Hodak baru-baru ini dan bertanya mengenai saya untuk dipanggil ke skuad kebangsaan. Saya sentiasa bersedia untuk bersama dengan Harimau Malaya.”
“Tetapi perkara itu (dipanggil ke skuad kebangsaan) tidak berlaku. Amat wajar jika beliau memanggil saya untuk ke Jordan bagi menguji keserasian bersama pasukan sebagai persiapan ke Piala AFF Suzuki nanti.”
Pemain berusia 28 tahun itu kini meletakkan sasaran untuk menyarung jersi kebangsaan bagi saingan Piala AFF Suzuki 2020 dan ingin beraksi dengan konsisten agar kelibatnya dapat menarik minat Tan Cheng Hoe sekaligus dipanggil memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
“Saya akan terus fokus untuk beraksi dengan cemerlang bersama KL City untuk baki saingan Piala Malaysia. Sekiranya saya konsisten, saya berhak mendapat tempat untuk menyarung jersi kebangsaan bagi saingan Piala AFF Suzuki nanti.”
Diberi peranan oleh Bojan Hodak untuk lebih bertahan di dalam taktikal The City Boys, Daniel menyifatkan corak permainan yang ditampilkannya berbeza dengan pertahanan kiri Johor Darul Ta’zim, Corbin-Ong yang lebih fokus menyerang.
“Saya diarahkan untuk lebih memberi tumpuan di bahagian pertahanan dan hanya perlu membantu rakan-rakan menyerang sekiranya ada peluang dan ruang untuk berbuat demikian. Ini adalah fokus utama saya bersama pasukan.”
Mengulas mengenai persembahannya, Daniel menyifatkan musim ini sebagai musim yang serba menjadi selepas kali terakhir beraksi di pentas Liga Malaysia pada tahun 2018 bersama dengan pasukan PKNS.
“Saya berpuas hati dengan persembahan saya pada musim ini meskipun sudah 2 tahun tidak beraksi di peringkat kompetitif. Malah, ia akan menjadi lebih baik buat saya sekiranya dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan tetapi ini bergantung kepada ketua jurulatih untuk membuat keputusan.”
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menolak panggilan itu dan saya berpendapat tidak ada pemain pertahanan kiri yang bermain untuk 22 perlawanan musim ini selain dapat membantu pasukan Kuala Lumpur City FC muncul sebagai pasukan kedua terbaik bagi rekod defensif,” tambah Daniel Ting lagi.