Croatia kini berpeluang untuk mara ke pusingan kalah mati apabila mencatat kemenangan 4-1 ke atas Kanada dalam aksi kedua peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 Qatar di Stadium Antarabangsa Khalifa awal pagi tadi.
Walaupun ketinggalan 1-0 namun Croatia mempamerkan kebangkitan yang dicetuskan oleh Andrej Kramaric sekaligus melenyapkan harapan wakil Amerika Utara itu untuk mengutip 3 mata penuh.
Selepas Alphonso Davies menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan kencang seawal minit ke-2, Croatia menunjukkan kualiti mereka dengan Kramaric menyamakan kedudukan pada minit ke-36 sebelum Marko Livaja meletakkan finalis 2018 itu di depan sebelum rehat separuh masa.
Sebelum itu, mereka juga berpeluang menambah lebih banyak jaringan namun dinafikan oleh pengadil kerana berada dalam kedudukan ‘offside’.
https://twitter.com/josip_salov/status/1596972983041785858?s=20&t=RKqR_vUpQW7fsaklpeGxQg
Croatia memperoleh dua lagi gol di separuh masa kedua dengan Kramaric meledak gol kedua pada minit ke-70 dan Lovro Majer menambah jaringan pada minit kecederaan.
Kanada cuba bangkit namun mereka sukar menembusi benteng pertahanan Croatia yang beraksi lebih cemerlang di separuh masa kedua.
Hasil kemenangan tersebut, Croatia kini berada di kedudukan teratas kumpulan F dan terikat 4 mata dengan Morocco yang telah mengejutkan Belgium, 2-0 menerusi jaringan Romain Saiss dan Zakaria Aboukhlal.
Croatia dan Morocco kini hanya perlu seri pada perlawanan terakhir mereka untuk layak ke pusingan kalah mati.
Kanada yang beraksi pada edisi Piala Dunia buat kali kedua berada di kedudukan terbawah kumpulan dan masih belum mengutip sebarang mata selepas mengharungi 2 perlawanan.