Legenda hidup bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo menafikan dakwaan yang mengatakan beliau tidak bersikap profesional sekali gus telah mengganggu keharmonian kem Manchester United pada ketika ini.

Baca Juga:

Sejak kehadiran Erik ten Hag yang mula memegang jawatan pengurus pada musim panas lalu, perlakuan Ronaldo jelas mencuri tumpuan dengan beberapa siri kejadian memperlihatkan sisi kurang baik dalam kariernya.

Bermula dengan tindakannya yang meninggalkan stadium sebelum perlawanan persahabatan bertemu Rayo Vallecano tamat, Ronaldo kemudiannya enggan bersalaman dengan ten Hag sebaik sahaja aksi liga menentang Brentford tamat dimana mereka tumpas 0-4 pada perlawanan tersebut.

Perkara tersebut kelihatannya diulangi sekali lagi oleh pemain berusia 37 tahun itu apabila beliau dilihat melangkah masuk ke bilik persalinan ketika perlawanan dengan Tottenham Hotspur, awal pagi semalam masih berbaki beberapa minit.

Perlakuan tersebut nyata memakan diri apabila Ronaldo digugurkan daripada skuad Manchester United yang akan berkunjung ke Stamford Bridge untuk bertemu Chelsea, pagi Ahad nanti.

Susulan dengan ‘hukuman’ tersebut, Ronaldo tampil memberikan penjelasan dengan mengatakan beliau masih mengekalkan tahap profesional seperti kebiasaan ditampilkannya.

“Seperti yang selalu saya lakukan sepanjang karier saya, saya cuba hidup dan bermain dengan penuh hormat terhadap rakan sepasukan, lawan dan juga kepada jurulatih saya.”

“Semua itu tidak pernah berubah,” ujar Ronaldo menurut kenyataan rasmi dikeluarkan di laman sosial peribadi miliknya.

“Saya adalah orang yang sama dan profesional seperti saya 20 tahun yang lalu bermain di pentas bola sepak elit dan rasa hormat sentiasa memainkan peranan sangat penting dalam proses saya membuat keputusan.”

“Saya bermula dengan sangat muda, contoh daripada pemain lebih tua dan sangat berpengalaman sentiasa sangat penting bagi saya. Oleh itu, kemudiannya saya sentiasa cuba untuk menunjukkan contoh diri saya untuk pemain muda dapat berkembang dalam pasukan yang saya wakili.”

“Malangnya, perkara itu tidak selalu terjadi dan kadangkala situasi berbahang ini menjadi yang terbaik bagi kita.”

“Pada ketika ini, saya hanya merasakan bahawa saya perlu terus bekerja keras di Carrington [Pusat Latihan Manchester United], menyokong rakan sepasukan saya dan bersedia untuk segala-galanya dalam mana-mana perlawanan.”

“Ia tidak akan berlaku. Ini adalah Manchester United dan kami mesti berdiri bersama. Tidak lama lagi kami akan kembali bersama,” tambah Cristiano Ronaldo lagi.

Bekas pemain Manchester United, Paul Ince merupakan antara individu yang seringkali mengkritik sikap Ronaldo dan menganggap beliau hanya menjadi gangguan kepada rakan sepasukannya.