Pemain jentera serangan Liverpool, Diogo Jota akhirnya berjaya menamatkan kemarau jaringan dihadapinya hampir setahun selepas menyumbang dua gol pada aksi bertemu Leeds United, awal pagi tadi.

Musim 2022/2 nyata bukanlah kempen yang baik buat pemain kelahiran Portugal itu apabila beliau terpaksa diketepikan pada lima aksi awal saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) akibat kecederaan hamstring.

Selepas itu, Jota sempat beraksi empat perlawanan untuk mencipta satu bantuan jaringan dan mengalami kecederaan betis sehingga memaksa beliau diketepikan empat bulan.

Keadaan tersebut jelas membuatkan Jota cukup bergelut untuk mempamerkan aksi terbaiknya seperti ditampilkan pada musim lalu dengan 21 gol dihasilkan pada 55 perlawanan melibatkan semua pertandingan.

Sebelum perlawanan di Elland Road itu berlangsung, Jota mendedahkan bahawa beliau mengambil inspirasi daripada kisah rakan sepasukannya di Portugal, Cristiano Ronaldo yang pernah ketandusan jaringan selama 16 bulan ketika tugasan skuad kebangsaan.

Tetapi kini seperti diketahui, beliau merupakan penjaring terbanyak dalam senarai penjaring di peringkat antarabangsa dengan 122 gol.

“Jelas sekali saya tidak mahu menamatkan musim ini tanpa menjaringkan sebarang gol tetapi saya masih mempunyai beberapa perlawanan, jadi saya cuba untuk mendapatkan tumpuan kepada apa yang boleh saya lakukan di atas padang untuk berada dalam detik-detik penentu ini.”

“Saya tahu bola sepak adalah permainan yang boleh berubah dengan cepat dan saya pernah mendengar cerita dan Ronaldo pastinya bukan 30 perlawanan tetapi dia mempunyai beberapa perlawanan tanpa menjaringkan gol dan orang bertanya kepadanya.”

“Dia mengatakan bahawa ia hampir seperti sos tomato. Apabila [sos] terjatuh buat pertama kali, semuanya akan terus keluar jadi mudah-mudahan perkara yang sama turut berlaku kepada saya,” ujar Diogo Jota menurut sumber laporan Sport Bible.

 

 

Sumber