Real Madrid melangkah penuh bergaya ke perlawanan akhir Copa Del Rey 2022/23 selepas membelasah musuh tradisi, Barcelona 4-0 (agregat 4-1) pada aksi yang berlangsung di Nou Camp, sebentar tadi.

Baca Juga:

Beraksi di laman sendiri serta memiliki kelebihan satu jaringan, pemain Barcelona bagaimanapun terpaksa menyalahkan diri terutamanya kealpaan di jentera pertahanan sehingga dihukum skuad kendalian Carlo Ancelotti itu.

Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya Real Madrid sehingga penyerang berbisa, Karim Benzema berjaya meledakkan hatrik pada separuh masa kedua.

Corak permainan babak pertama menyaksikan tuan rumah lebih menguasai permainan tetapi Real Madrid lebih bijak menyempurnakan peluang untuk membuka tirai jaringan menerusi Vinicius Junior pada masa kecederaan.

Jaringan itu jelas meningkatkan moral Los Blancos yang tampil dengan lebih baik pada separuh masa kedua sehingga memberikan masalah kepada jentera pertahanan Barcelona.

Ia jelas dibuktikan apabila Benzema dengan tenang menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-50 selepas percubaannya setelah menerima umpanan Luka Modric berjaya menewaskan penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen.

Berselang lapan minit kemudian, Benzema sekali lagi menemui sentuhan jaringan apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Tidak cukup dengan itu, Benzema melengkapkan hatrik pada minit ke-80 selepas beliau mudah menolak masuk bola susulan serangan balas pantas dilakukan Vinicius Junior.

Kemenangan itu bukan sahaja membawa Real Madrid ke pentas final Copa del Rey tetapi menghalang Barcelona daripada mengungguli El Clasico buat kali keempat berturut-turut pada musim ini.