Argentina akhirnya menamatkan penantian panjang untuk kembali menjulang trofi Copa America apabila berjaya menundukkan musuh tradisi, Brazil 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Maracana sebentar tadi.
Jaringan tunggal daripada Angel Di Maria pada babak pertama itu sudah cukup untuk menamatkan penantian selama 28 tahun selepas kali terakhir skuad La Albiceleste memenangi gelaran Copa America pada tahun 1993.
Ketika para peminat bola sepak di seluruh dunia mengharapkan aksi menarik ditampilkan kedua-dua pasukan pada perlawanan ini tetapi apa yang dipersembahkan sedikit menghampakan.
Tidak banyak serangan menarik yang dapat disaksikan sepanjang 90 minit perlawanan tetapi sebaliknya penyokong lebih dipertontonkan dengan aksi keras para pemain.
Jaringan bermakna yang dihasilkan Di Maria menjelma pada minit ke-22 apabila beliau menerima umpanan cantik daripada Rodrigo De Paul yang tidak mampu dipatahkan pemain pertahanan, Renan Lodi.
Keadaan itu memberikan peluang Di Maria untuk melakukan larian pantas ke dalam kawasan penalti dan kemudiannya melakukan percubaan lambung yang sekali gus berjaya menewaskan Ederson Moraes di gawang Brazil.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Brazil mendapat peluang berselang empat minit kemudian tetapi rembatan jarak jauh diledakkan Casemiro mudah ditangkap penjaga gol, Emiliano Martinez.
Lionel Messi cuba untuk memberikan ancaman pada minit ke-33 menerusi gerakan solo dari kawasan tengah. Namun, percubaannya dari luar kawasan penalti sekadar tersasar di sebelah kanan pintu gol Brazil.
Memasuki babak kedua, anak buah Tite hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-52 menerusi Richarlison, bagaimanapun jaringan daripada penyerang Everton itu dibatalkan selepas beliau dikesan berada dalam keadaan ofsaid.
Dua minit kemudian, beliau sekali lagi terlepas peluang terhidang apabila rembatannya dalam kawasan penalti selepas menerima umpanan Neymar berjaya ditepis keluar Martinez bagi menyelamatkan gawangnya.
Sedar mereka semakin kesuntukan masa untuk kembali mengikat kedudukan, Brazil tampil dengan lebih garang dengan memberikan tekanan hebat ke kubu Argentina.
Martinez bagaimanapun terus kental bertahan setelah beliau menafikan percubaan voli jarak dekat dilakukan pemain gantian, Gabriel Barbosa pada minit ke-87 untuk kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan bagi menghadiahkan kejuaraan Copa America kali ke-15 buat Argentina.
Ia sekali menyamai pencapaian dicatatkan Uruguay sekali gus menjadikan kedua-dua negara tersebut sebagai pemenang terbanyak dalam sejarah penganjuran Copa Amerika.