Pasukan pilihan, Brazil menepati ramalan apabila melayakkan diri ke perlawanan akhir Copa America 2021 selepas berjaya menundukkan Peru 1-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Estádio Nilton Santos, Rio de Janeiro sebentar tadi.
Dibarisi kesebelasan utama yang mempunyai reputasi besar dalam kancah bola sepak Eropah, Brazil nyata mendominasi permainan terutamanya pada separuh masa pertama.
Skuad kendalian Tite itu mengancam kubu Peru seawal minit kelapan selepas Lucas Paqueta melakukan lorongan cantik buat Richarlison dalam kawasan penalti dan kemudiannya melakukan hantaran kepada Neymar.
Percubaan Neymar bagaimanapun tersasar selepas beliau ditekan pertahanan Peru ketika beliau cuba untuk melakukan rembatan.
Penjaga gol yang merupakan ketua pasukan Peru, Pedro Gallese memainkan peranan penting dalam menghalang Brazil daripada berkenduri gol pada perlawanan ini berikutan aksi cemerlang ditampilkannya.
Ia jelas terbukti apabila beliau berjaya menafikan enam percubaan tepat yang dimiliki Brazil pada separuh masa pertama. Ia bermula dengan ketangkasan Gallese dalam menafikan percubaan padu diledakkan Casemiro pada minit ke-13.
Lebih menarik, penjaga gol berusia 31 tahun itu juga menerima serangan bertubi-tubi pada minit ke-19 apabila tiga percubaan berbahaya dijelmakan Brazil.
Bermula dengan rembatan jarak jauh Casemiro yang berjaya ditepis keluar dan kemudiannya percubaan jarak dekat daripada Neymar serta percubaan susulan Richarlison juga berjaya diselamatkannya.
Kecemerlangan Gallese terhenti pada minit ke-35 apabila gerakan solo daripada Neymar yang melepasi kawalan dua pertahanan lalu melakukan hantaran ‘cutback’ buat Paqueta yang berada dalam kawasan penalti.
Peluang terhidang itu tidak disia-siakan Paqueta bagi melakukan percubaan sekali gus menghadiahkan jaringan pembukaan buat Brazil.
Tidak mahu terus ditekan Brazil, Peru yang dibimbing Ricardo Gareca tampil dengan lebih baik pada babak kedua dan lebih menguasai permainan serta mendapat beberapa peluang terbaik untuk kembali mengikat kedudukan.
Susulan hantaran jauh dari tengah padang dilakukan Sergio Pena memberikan peluang buat Gianluca Lapadula untuk menuju pantas ke kawasan penalti Brazil dan melepaskan rembatan tetapi percubaan tersebut ditepis keluar penjaga gol, Ederson Moraes pada minit ke-49.
Ederson sekali lagi bertindak cemerlang ketika perlawanan memasuki minit ke-61 dengan menafikan percubaan jarak jauh dilepaskan Raziel Garcia.
Kedudukan 1-0 itu bagaimanapun kekal hingga tamat permainan meskipun kedua-dua pasukan berusaha keras bagi mendapatkan jaringan.
Dengan keputusan tipis yang dicatatkan, Brazil bakal menanti pemenang antara Argentina dan Colombia yang akan beraksi pagi esok di Estádio Nacional de Brasília.