Skuad Tok Gajah akhirnya mencatat kemenangan pertama dalam saingan CIMB Liga Super 2020 selepas menewaskan Sabah, 2-0 di Stadium Darul Makmur malam tadi.
Dua jaringan daripada Ivan Carlos dan Herold Goulon itu sudah cukup memastikan 3 mata penuh menjadi milik Pahang setelah tewas dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Pengendali skuad itu, Dollah Salleh menyifatkan kemenangan tersebut telah membangkitkan semangat anak buahnya untuk memburu kemenangan kedua dalam perlawanan menentang Melaka United pada hari Sabtu ini.
“Saya amat bersyukur kerana kami akhirnya mengutip tiga mata selepas dikecewakan dengan dua kekalahan sebelum ini.
“Kemenangan ini sudah pasti menyuntik semangat buat semua pemain yang diharap tampil dengan lebih yakin pada perlawanan keempat nanti.
“Secara keseluruhannya saya gembira kerana pemain begitu bersemangat untuk mengutip tiga mata dan misi itu berjaya dilakukan,” katanya dalam Arena Metro.
Dalam perlawanan itu, Pahang berpeluang menambah dua lagi gol pada separuh masa pertama namun rembatan Mohamadou Sumareh berjaya ditepis oleh penjaga gol Sabah, Wan Azraei.
Malah, Dollah juga sedikit kecewa apabila beberapa pemain dilihat gagal menyudahkan beberapa peluang keemasan yang membolehkan skuad tok gajah mencatat kemenangan besar.
“Walaupun sedikit goyah, kita turut memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi ia gagal diterjemahkan.
“Tapi saya berterima kasih kepada pemain kerana menamatkan perlawanan dengan tiga mata di laman sendiri,” katanya.
Lihat artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim 2020 melalui pautan dibawah.
Yusri Che Lah: Kelegaan Untuk Kem Kelantan FA, Komitmen Masaki Watanabe Dapat Pujian