Pemain bintang Thailand, Chanathip Songkrasin memutuskan untuk meninggalkan kelabnya, Kawasaki Frontale hanya selepas satu musim beraksi bersama pasukan itu.

Perkara ini disahkan oleh media di Thailand dimana beliau ketika ini kembali ke negaranya bagi menghadapi dua aksi persahabatan dan bakal membuat keputusan mengenai masa depannya selepas tugasan bersama skuad kebangsaan selesai.

Musim ini, pemain berusia 29 tahun itu tidak banyak diturunkan dalam kesebelasan utama dimana beliau hanya beraksi dalam dua perlawanan.

Musim lalu, Chanathip hanya beraksi sebanyak 18 perlawanan dalam semua kejohanan dimana beliau menyumbanh dua bantuan jaringan. Rekod ini dianggap buruk memandangkan pemain itu merupakan pemain termahal yang pernah dibeli oleh Kawasaki.

Terdapat khabar angin yang mengatakan beberapa pasukan salam saingan Thai League 1 berminat untuk mendapatkan khidmat Chanathip namun beliau enggan mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Ketika ini saya masih bergelar sebagai pemain Kawasaki Frontale. Saya tak mahu memberikan komen mengenai perkara itu kerana masih mempunyai baki kontrak bersama Kawasaki,” katanya.

Awal tahun ini, Chanathip Songkrasin enggan beraksi dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 kerana mahu memberikan sepenuh fokus terhadap kelabnya.

Akan tetapi, pemain itu mengalami masalah kecergasan ekoran kecederaan yang dialami sekaligus menyebabkan beliau gagal untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Skuad kebangsaan Thailand akan turun menentang Taiwan dan juga Hong Kong pada jendela FIFA kali ini.