Bekas ketua pasukan Liverpool, Jamie Carragher mengakui kehadiran semula tonggak pertahanan The Reds, Virgil van Dijk tidak menjanjikan satu lagi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan dimenangi kelab tersebut.
Melihatkan kepada kecederaan yang dialami pertahanan kental tersebut, Carragher melihat van Dijk perlu lebih berhati-hati dan tidak boleh terburu-buru untuk mencapai tahap kemuncak prestasi seperti ditampilkan tiga musim kebelakangan ini.
Seperti diketahui, van Dijk diketepikan dalam tempoh yang lama selepas beliau mengalami kecederaan lutut apabila beliau dikasari penjaga gol, Jordan Pickford pada perlawanan menentang Everton, musim lalu.
“Saya fikir kami harus berhati-hati dan saya memikirkan Jurgen Klopp juga akan berhati-hati dengan perkara ini.”
“Saya tidak fikir kami seharusnya mengharapkan bahawa Virgil van Dijk akan kembali ke Liverpool dan Liverpool secara automatik akan memenangi liga lagi pada musim ini,” ujar Carragher menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Dia mengalami kecederaan yang sangat serius dan dia perlu memastikan agar tidak terburu-buru untuk kembali. Sekiranya dia kembali ke kemuncak prestasi, dia adalah pemain pertahanan tengah terbaik di dunia bola sepak.”
“Itulah yang diinginkan Liverpool selama lima atau enam tahun ke hadapan, bukannya lima atau enam minggu ke hadapan.”
“Jika dia tidak membuat penampilan pada aksi sulung musim ini, itu bukanlah pengakhiran buatnya, ini adalah berkenaan untuk memastikan Virgil van Dijk 100 peratus bersedia,” tambah beliau lagi.
Baca artikel-artikel lain yang kami sediakan buat anda:
KV Kortrijk Catat Kemenangan Kedua, Kekal Menghuni Tangga Teratas
Khalid Jamlus Mahu Bantu Tajamkan Barisan Serangan Perak Secara Percuma