Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui bahawa skuad kendaliannya berhak untuk memenangi aksi bertemu Manchester City pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23, awal pagi tadi.

Baca Juga:

Seperti dilaporkan sebelum ini, Real Madrid telah diikat wakil England itu meskipun membuka tirai jaringan menerusi Vinicius Jr pada minit ke-36.

Bagaimanapun, aksi di Santiago Bernabeu itu diserikan dengan ledakan menarik pemain tengah The Cityzens, Kevin De Bruyne ketika permainan memasuki minit ke-67.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam aksi yang bakal berlangsung di kubu kuat Manchester City, Stadium Etihad.

“Kami boleh memenanginya, kami berhak untuk menang tetapi perkara ini yang berlaku,” ujar Ancelotti menurut laman sesawang rasmi Real Madrid.

“Kami datang dengan perasaan positif menjelang perlawanan timbal balik kerana kami bermain dengan cukup baik.”

“Dalam 20 minit awal permainan, mereka mendapatkan banyak bola tetapi mereka langsung tidak mendatangkan sebarang masalah kepada kami.”

“Adalah perkara biasa bagi Manchester City untuk menguasai bola tetapi ia tidak mendatangkan masalah buat kami. Kami mendapatkan jaringan dan sejak itu kami bermain dengan sangat baik, mengawal permainan dan mencipta peluang.”

“Kami sangat gembira dengan cara kami mengharungi perlawanan ini dan saya berharap dapat melihat prestasi ini berulang dalam aksi timbal balik,” tambah Carlo Ancelotti lagi.

Selain itu, Ancelotti turut menagih sentuhan pemain berpengalaman dalam pasukannya untuk memberikan sumbangan berkesan pada saat genting seperti ini.

“Para pemain veteran adalah mereka yang menetapkan tempo permainan. Dalam perlawanan seperti ini, mereka sangat memainkan peranan penting.”

“Mereka memberikan keyakinan kepada para pemain muda supaya pemain-pemain tersebut berazam untuk melakukannya dengan baik.”

 

Sumber