Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan Cameron Ng sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak B-20 wanita kebangsaan yang baharu.
Baca Juga:
- Soleen Mahu Baiki Liga Bola Sepak Wanita Di Malaysia
- AFF Wanita B-18: Skuad Negara Tamatkan Kempen Dengan Kemenangan
- Kelayakan Piala Asia Wanita 2022: Malaysia Tewas Pada Aksi Pembukaan
Pemilihan Cameron itu dibuat selepas perbincangan serta penilaian menyeluruh dilakukan bersama di antara Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob.
Menurut Scott, selepas berkhidmat selama tiga tahun bersama FAM sejak 2020 sebagai Ketua Unit Akar Umbi FAM, Cameron telah menunjukkan kredibilitinya sebagai seorang jurulatih menerusi pelbagai aktiviti pembangunan pemain yang telah dijalankan oleh beliau.
“Seperti yang kita tahu, Cameron bukan sahaja aktif dalam program-program pembangunan pemain tetapi beliau juga adalah salah seorang instruktur untuk Unit Pendidikan Kejurulatihan FAM yang dikendalikan oleh Lim Kim Chon.
“Beliau telah menunjukkan kesungguhannya di dalam kejurulatihan menerusi program-program akar umbi dan komitmen seperti inilah yang amat diperlukan oleh skuad bola sepak B-20 wanita kebangsaan terutama sekali dengan kempen Kelayakan Piala Asia B-20 Wanita 2024 yang akan berlangsung bulan hadapan.
“Komitmen Cameron juga boleh dilihat sewaktu beliau membantu Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi pada sesi percubaan dan pemilihan pemain baru-baru ini.
“Dengan kerjasama di antara Soleen dan Cameron yang sentiasa bertukar idea dan pendapat dibelakang tabir, saya berharap ia dapat mewujudkan persekitaran yang lebih profesional serta positif untuk skuad bola sepak wanita kebangsaan,” kata Scott dalam kenyataan rasmi.
Pengumuman itu telah dibuat di Wisma FAM, Kelana Jaya pagi ini yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman.
Sementara itu, pelantikan Cameron sebagai ketua jurulatih skuad muda Malayan Tigress turut disambut baik oleh Soleen.
“Cameron mempunyai pemahaman tinggi mengenai sistem bola sepak moden dan kualiti itu amat diperlukan bagi membentuk pasukan yang kuat dan lebih kompetitif.
“Kebolehan Cameron dalam bidang kejurulatihan ini boleh dilihat menerusi komitmennya terhadap pembangunan pemain dan pengalamannya sudah tentu dapat diterapkan di dalam skuad Malayan Tigress B-20,” kata Soleen.
Biarpun telah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-20 wanita kebangsaan, Cameron masih tetap akan meneruskan tugasnya sebagai Ketua Unit Akar Umbi FAM.