Indonesia tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan kedua dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 selepas berpesta jaringan menundukkan Brunei 7-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Baca Juga:

Mendapat sokongan lebih 5000 penyokong setia, Indonesia mendominasi permainan sebaik wisel permulaan walaupun membuat lapan pertukaran di kesebelasan utama dan hanya mengekalkan tiga pemain iaitu penjaga gol, Nadeo Argawinata, Asnawi Mangkualam dan Egy Maulana Vikri.

Jaringan pembukaan skuad kendalian Shin Tae-yong itu hadir pada minit ke-20 apabila percubaan kaki kiri Syahrian Abimanyu selepas menerima hantaran Ilija Spasojevic gagal diselamatkan penjaga gol, Haimie Anak Nyaring.

Brunei yang sesekali mengatur serangan balas pantas ke arah kubu Indonesia terpaksa menelan kepahitan bermain dengan 10 pemain selepas bek kanan, Mohammad Alinur Rashimy Awang Jufri diperintahkan keluar padang ekoran kad kuning kedua diterimanya.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya skuad Garuda untuk menambah jaringan kedua pada minit ke-41 menerusi Dendy Sulistyawan.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran lintang Asnawi yang pada mulanya gagal ditolak dengan baik Saddil Ramdani lalu memberikan ruang buat Dendy untuk menolak masuk bola.

Permainan di babak kedua memperlihatkan Indonesia terus menggandakan asakan untuk menambah jaringan dimana ia membuahkan hasil menerusi Egy Maulana.

Berpunca daripada hantaran lintang baik daripada Edo Febriansyah, Egy yang tidak dikawal dengan rapi pertahanan lawan berjaya menanduk bola untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-59.

Kedudukan terus berubah berselang dua minit kemudian apabila Spasojevic pula bijak menyempurnakan peluang dalam kawasan penalti dengan melakukan ‘back heel’ cantik menewaskan Haimie.

Tidak cukup dengan empat jaringan tersebut, giliran Ramadhan Sananta mencetak nama selaku penjaring selepas beliau dengan mudah menyudahkan peluang susulan hantaran lintang dilakukan Yakob Sayuri pada minit ke-69.

Pemain gantian, Marc Klok menambah derita Brunei minit ke-86 apabila rembatan leretnya dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Yakob Sayuri.

Selepas cemerlang dengan dua bantuan jaringan, Yakub Sayuri kemudiannya menutup pesta jaringan naib juara edisi lalu menerusi tandukan pada masa kecederaan.

Kemenangan mudah itu meletakkan Indonesia ditangga teratas kumpulan A dengan enam mata, berkelebihan tiga mata dibelakang Thailand yang akan bertemu Filipina pada 8.30 malam ini.