Skuad kebangsaan Brazil meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Switzerland, 1-0 pada perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 Qatar di Stadium 974.

Baca Juga:

Bagaimanapun, skuad samba itu seperti hilang sengat tanpa kehadiran Neymar yang diketepikan kerana kecederaan sehingga perlu menunggu jaringan lewat Casemiro untuk mengutip 3 mata penuh awal pagi tadi.

Kemenangan membolehkan juara dunia lima kali itu mengesahkan tempat ke kelompok 16 terbaik Piala Dunia dengan berbaki satu perlawanan.

Skuad Brazil dikecewakan dengan aksi liat dipamerkan Swiss di Stadium 974 Doha dan ia kelihatan seperti akan berakhir dengan berkongsi satu mata selepas jaringan Vinicius Junior pada babak kedua tidak dibenarkan selepas pemeriksaan VAR.

Begitupun, ketika permainan berbaki tujuh minit Bruno Guimaraes mengumpan bola kepada Casemiro yang berada di dalam kotak penalti dan pemain tengah Manchester United itu melakukan rembatan voli untuk gol tunggal perlawanan.

Skuad kendalian Tite adalah pasukan kedua yang layak dalam kelompok 16 terakhir selepas Perancis memenangi kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan mereka di Qatar setakat ini.