Ketua jurulatih skuad B-23 tahun negara, Brad Maloney menegaskan pintu sentiasa terbuka kepada mana-mana pemain bagi menyertai pasukannya menjelang saingan AFC B-23 tahun yang akan berlangsung di Uzbekistan pada Jun ini.
Brad berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan memanggil pemain muda yang tidak tersenarai dalam skuad senior menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2023 seperti Ramadhan Saifullah dan Hong Wan.
“Kita akan melihat kepada pemain terbaik mana yang tersedia. Kumpulan pemain ketioa ini sudah beraksi agak lama, terutama dalam temasya Sukan SEA.
“Pintu sentiasa terbuka untuk semua pemain. Kita akan putuskan barisan pemain terbaik yang akan dibawa sebelum berlepas pada Jumaat ini,” kata Brad Maloney dalam satu wawancara bersama Harimau Malaya.
Ketua jurulatih skuad senior negara, Kim Pan-gon meletakkan Ramadhan Saifullah dalam senarai menunggu manakala Hong Wan tidak dipanggil dalam senarai kali ini.
Ramadhan kembali beraksi setelah berehat panjang ekoran kecederaan yang dialami dan beliau menampilkan prestasi yang baik bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan AFC Champions League (ACL) yang berlangsung di Johor pada bulan lalu.
Mengenai Nooa Laine, Brad berkata pemain kacukan Finland-Malaysia itu masih dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi mendapatkan pasport dan pemain itu akan mungkin dipanggil setelah proses dokumentasinya selesai.
“Nooa menampilkan prestasi yang baik apabila berlatih dengan kami bulan lalu. Akan tetapi, kami masih menunggu proses dokumentasi beliau yang mengambil masa sedikit sama.
“Masih ada peluang. Saya mahu memberikan peluang kepadanya untuk beraksi namun semua bergantung kepada proses dokumentasi. Kami akan terbang ke Uzbekistan tanpa kelibatnya sekiranya proses tersebut belum selesai,” tambah Brad.
Malaysia diundi dalam kumpulan C bersama Korea Selatan dan dua lagi pasukan dari Asia Tenggara iaitu Thailand dan Vietnam.
Thailand akan turun menentang Vietnam pada aksi pembukaan pada 2 Jun ini manakala Malaysia akan menghadapi Korea Selatan. Pada aksi kedua peringkat kumpulan, Thailand akan menghadapi Malaysia pada 5 Jun manakala Vietnam akan turun menentang Korea Selatan.
Aksi terakhir kumpulan menyaksikan Thailand akan berdepan Korea Selatan manakala Malaysia akan menentang Vietnam. Dua perlawanan ini akan berlangsung pada 8 Mac.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:
Thomas Dooley Kembali Semula Sebagai Ketua Jurulatih Filipina
AFC B-23: Thailand Senaraikan 10 Pemain Berpangkalan Di Luar Negara
Fokus Terhadap Pasukan Senior, Alexandre Polking Tinggalkan Skuad B-23 Thailand