Tengku Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman menegaskan beliau tidak peduli dengan kritikan yang dilontarkan terhadap negaranya selepas kelab di negara itu memborong pemain bintang dunia.
Baca Juga:
- Selepas Tewaskan Argentina, Arab Saudi Catat Rekod Terburuk Sejak 1995
- Neymar Anggap Liga Arab Saudi Mungkin Lebih Bagus Daripada Liga Perancis
- WWE Mahu Pancing Cristiano Ronaldo Tampil Di Acara ‘Crown Jewel’
Bin Salman telah meluluskan perbelanjaan untuk sukan yang belum pernah berlaku sebelum ini sejak menjadi pemerintah Arab Saudi pada 2017. Pengkritik berpendapat pelaburan itu bertujuan untuk mengalih perhatian perhatian daripada pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di negaranya. Tetapi dalam satu temu bual, Bin Salman berkata dia tidak terganggu dengan tuduhan yang menurut pengkritik dipanggil dengan nama sport washing.
Perbelanjaan sukan kebanyakannya disalurkan kepada bola sepak dan sejak tahun lalu beberapa kelab dalam saingan Saudi Pro League telah menandatangani pemain bertaraf bintang bermula dengan Cristiano Ronaldo dan diikuti oleh pemain lain seperti Neymar, Karim Benzema dan Roberto Firmino.
“Jika sport washing akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) saya sebanyak 1%, maka saya akan terus melakukan perkara itu. Saya tidak kisah. Saya menyasarkan pertumbuhan sebanyak 1.5% lagi. Panggil apa sahaja yang anda mahu, kami akan mendapat 1.5% itu,” katanya menurut laporan Guardian.
Selain kelab Arab Saudi membawa masuk pemain bertaraf bintang, negara itu juga membeli kelab dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Newcastle United melalui syarikat milik kerajaan iaitu Public Investment Fund (PIC).
“Apabila anda ingin mempelbagaikan ekonomi, anda perlu bekerja dalam semua sektor. Perlombongan, infrastruktur, pembuatan, pengangkutan, logistik dan perkara lain.
“Sebahagian daripadanya adalah pelancongan dan jika anda ingin membangunkan pelancongan, sebahagian daripadanya adalah budaya, sebahagian daripada budaya adalah sektor sukan,” tambah Mohammed bin Salman.
Sejak diambil alih oleh PIC, Newcastle berjaya mara ke saingan UEFA Champions League musim ini selepas menduduki tangga ketiga dalam saingan EPL musim lalu.