Selepas berakhirnya Piala Dunia FIFA di Qatar, saingan Piala AFF 2022 bakal membuka tirainya pada hari esok. Kejohanan yang kini memasuki edisi yang ke 14 itu dikenali sebagai Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dengan membawa slogan “Together, we can build better” (Bersama-sama kita membina dengan lebih baik).
Baca Juga:
- FAM Umum Senarai 23 Pemain Ke Piala AFF 2022, Tiada Nama Dion Cools
- Kim Pan-gon Akui Masih Ada Kelemahan Yang Perlu Diperbaiki
- Prestasi Konsisten Skuad Harimau Malaya Hasil Kerjasama Erat Dengan JDT
Ia ibarat Piala Dunia versi Asia Tenggara dan setiap perlawanan sentiasa berlangsung sengit untuk merebut gelaran sebagai Raja Bola Sepak di rantau ini.
Lebih menarik, syarikat barangan sukan dari Thailand, Warrix telah memperkenalkan bola rasmi yang akan digunakan dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dan dinamakan sebagai ‘BERSATU’.
Perkataan itu cukup dikenali dalam kalangan kaum melayu Selatan Thailand, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Penggunaan nama BERSATU pada bola tersebut bermaksud kerjasama, harmoni, keghairahan, penyatuan tenaga dan juga mengambarkan perpaduan dalam komuniti masyarakat ASEAN.
Selain itu, bola tersebut direka khas dengan bentuk moden dan mempunyai ciri-ciri menarik seperti teknologi Thermo Bonded yang membantu bola bergerak dengan lancar dalam pelbagai bentuk permukaan padang.
Malah, bola ini juga mempunyai berat yang seimbang sekaligus membantu pemain mengawal bola dan mengelecek dengan baik tanpa sebarang masalah mengikut arah yang dituju.
Bola ini turut direka untuk mengekalkan kestabilan semasa di udara serta memiliki ciri ciri khas dalam meningkatkan ketepatan dan menyokong permainan pantas dalam bola sepak moden.
Dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, skuad Harimau Malaya akan berdepan dua pesaing utama, Vietnam dan Singapura dalam kumpulan B. Dua lagi pasukan yang melengkap kumpulan ini ialah Myanmar dan Laos.
Mereka dijadualkan membuka kempen Kumpulan B bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu, 21 Disember 2022 sebelum kembali ke tanah air, hari berikutnya.
Seterusnya, pasukan kendalian Kim Pan-gon itu akan bertemu Laos pada perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 24 Disember 2022, dan hari berikutnya terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh pada Selasa, 27 Disember 2022.
Pulang ke tanah air pada hari berikutnya, skuad Harimau Malaya tidak beraksi pada Hari Perlawanan 4 bagi Kumpulan B pada Jumaat, 30 Disember 2022 dan hanya akan kembali turun beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 3 Januari 2023.
Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.
Sementara itu Kumpulan A menempatkan juara bertahan Thailand bersama Filipina, Indonesia, Kemboja dan satu lagi pasukan, sama ada Brunei atau Timor-Leste yang akan ditentukan melalui perlawanan play-off. .