Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak mengharapkan agar kecemerlangan skuad kendaliannya dapat diteruskan selepas mereka mengecapi nikmat menjuarai Piala AFC Zon Asia Tenggara (ASEAN) 2022 di Cheras, malam tadi.
Perlawanan akhir di Stadium KLFA itu menyaksikan KL City unggul untuk mencatatkan kemenangan 5-2 keatas PSM Makassar sekali gus meneruskan perjalanan skuad ‘Warga Kota’ itu dalam kempen Asia.
KL City cemerlang dengan mendahului 3-0 menerusi jaringan Romel Morales pada minit ke-33, Jordan Mintah (minit ke-45+2) dan sepakan penalti Paulo Josue ketika permainan memasuki minit ke-52.
Pasukan pelawat yang dibimbing Bernardo Tavares cuba bangkit dengan dua jaringan pantas oleh Yakob Sayuri dan Akbar Tanjung dalam tempoh lima minit (minit ke-52 dan 63) bagi merapatkan defisit jaringan.
Kebangkitan itu bagaimanapun tidak langsung mengganggu rentak pasukan tuan rumah untuk menambah lagi dua jaringan pada lewat permainan hasil sumbangan satu lagi gol daripada Paulo Josue pada minit ke-84 dan sepakan penalti Hadin Azman di masa kecederaan.
Piala AFC 2022: KL City Juara Zon ASEAN, Bawa Pulang 100,000 USD
“Saya merasakan semua orang yang datang menyaksikan perlawanan ini kecuali peminat PSM [Makassar] terhibur dengan aksi ditampilkan dimana tujuh jaringan telah terhasil.”
“Ia cukup menarik, kami beraksi dengan baik pada separuh masa pertama,” ujar Bojan Hodak dalam sidang media selepas perlawanan.”
”Anda lihat musim lalu kami memenangi Piala Malaysia adalah satu kisah dongeng dan pada ketika ini menjuarai Piala AFC juga merupakan satu lagi kisah dongeng.”
“Saya hanya mengatakan setiap cerita perlu untuk berakhir, jadi kami masih lagi akan melakukannya dan diharapkan ia akan berakhir dengan indah,” tambah Bojan lagi.
Kejayaan manis di hadapan penyokong sendiri itu membawa KL City ke peringkat separuh akhir Antara Zon (Inter-zone) yang dijadualkan bertemu wakil India, ATK Mohun Bagan.
Perlawanan itu bagaimanapun masih belum dapat dipastikan sama ada akan diteruskan atau tidak kerana seperti diketahui Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) telah digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran campur tangan pihak ketiga dalam organisasi tersebut.
Ini bermakna skuad kebangsaan India dan kelab dari negara tersebut tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) seperti Piala Asia 2023, AFC Champions League atau Piala AFC selain tidak boleh menganjurkan temasya Piala Dunia Wanita B-17 tahun.
Sekiranya keputusan itu muktamad, KL City akan mendapat kemenangan percuma dan hanya perlu menanti pemenang dalam satu lagi aksi separuh akhir bagi mengesahkan slot pasukan yang mara ke perlawanan akhir Antara Zon (Inter-Zone).
Kredit Featured Image: Kuala Lumpur City