Black Steel FC Papua memastikan trofi Kejuaraan Futsal Kelab AFF terus berada di Indonesia apabila berjaya menundukkan Hongyen Thakam 4-3 selepas aksi 50 minit termasuk masa tambahan terikat 1-1.
Baca Juga:
- Futsal Kelab AFF 2023: Pahang Rangers Tamatkan Saingan Di Kedudukan Keempat
- Futsal Kelab AFF 2023: Black Steel Terlalu Unggul Buat Pahang Rangers
- Futsal Kelab AFF 2023: Black Steel Terus Unggul, Tundukkan Thai Son Nam
Bertepatan dengan aksi final melibatkan kedua-dua pasukan di Terminal 21 Korat itu, permainan futsal intensiti tinggi telah dipamerkan oleh Black Steel dan Hongyen Thakam.
Malah, pelbagai drama turut dapat disaksikan dengan kad merah dilayangkan kepada ketua jurulatih Black Steel, Rakphol Sainetngam pada babak pertama dan kemudiannya salah seorang kakitangan Hongyen Thakam pula menerima nasib sama.
Tuan rumah bagaimanapun berada dihadapan seawal minit pertama menerusi jaringan yang dihasilkan oleh Therdsak Charoenphong.
Therdsak melakukan gerakan solo ke arah kawasan D Black Steel yang sekali gus menewaskan penjaga gol, Muhammad Albagir untuk memberikan kelebihan buat Hongyen Thakam.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Black Steel memperkemaskan aksi untuk menggandakan asakan bagi memburu jaringan.
Aksi saling berbalas serangan itu nyata membuahkan hasil buat Black Steel yang menyaksikan percubaan voli Holypaul Septinus ‘Evan’ Soumilena pada minit ke-32 kembali menyamakan kedudukan.
Pemenang akhirnya terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dan Diego Rodrigo, Ardiansyah Nur, Evan Soumilena dan Henrique Di Maria tidak mensia-siakan peluang menyempurnakan sepakan buat Black Steel.
Sebaliknya kegagalan Wendel Mendes dan Atippong Munphlai memastikan kejuaraan AFF menjadi Black Steel buat pertama kali dalam sejarah.
Ia juga bermakna Hongyen Thakam bergelar naib juara buat kali kedua berturut-turut apabila tunduk kepada satu lagi kelan gergasi Indonesia, Bintang Timur Surabaya pada edisi lalu.