Pemain sayap Paris Saint-Germain, Khvicha Kvaratskhelia, memerlukan pembedahan selepas mengalami koyakan ligamen ACL ketika kemenangan Liga Juara-Juara (Champions League) menentang Barcelona, menurut juara Eropah itu pada Rabu.
“Selepas mengalami kecederaan koyak ligamen krusiat anterior pada lutut kanannya semasa perlawanan menentang FC Barcelona semalam, Khvicha Kvaratskhelia bakal menjalani pembedahan dalam masa beberapa hari lagi,” kata PSG dalam satu kenyataan.
Satu lagi berita buruk buat PSG, kelab itu memaklumkan bahawa pemain penyerang Ousmane Dembele dan pertahanan tengah Marquinhos kedua-duanya bakal diketepikan selama “beberapa minggu” akibat kecederaan.
Kvaratskhelia rebah di atas padang tanpa sebarang sentuhan jelas dan meninggalkan padang sejurus sebelum sejam permainan dalam kemenangan 4-2 aksi fasa liga menentang Barcelona di Parc des Princes pada Selasa.
Pemain antarabangsa Georgia berusia 25 tahun itu memainkan peranan utama dalam membantu PSG memenangi gelaran Liga Juara-Juara (Champions League) berturut-turut dan merupakan salah seorang calon bagi Ballon d’Or, yang akan dianugerahkan pada hari Isnin.
Dembele, pemegang Ballon d’Or semasa, dan Marquinhos kedua-duanya mengalami kecederaan paha, kata PSG.