Pemain pertahanan kelab Denmark, Odense iaitu Nicholas Mickelson menganggap pemain Thailand terlalu baik dan lembut dan beliau menggesa agar perkara ini segera diubah sekiranya mahu beraksi di Eropah.

Baca Juga:

Menurut perkongsian Main Stand International, Mickelson berkata pemain Thailand perlu lebih garang terutamanya ketika beraksi di atas padang dan tidak boleh terlalu baik.

“Mereka (pemain Thailand) terlalu lembut dan baik. Mereka perlu lebih garang dan ganas jika mahu beraksi di luar negara. Para pemain perlu mengubah mentaliti kerana di Eropah, pemain di sana gemar untuk menjerit.

“Ketika saya beraksi dengan skuad B-23 Thailand, mereka sangat senyap. Tiada siapa yang menjerit. Ini berbeza ketika saya bermain di Eropah,” kata pemain Odense itu.

Mickelson beraksi dengan bintang Manchester City, Erling Haaland dan ketua pasukan Arsenal, Martin Odergaard untuk skuad muda Norway sebelum memutuskan untuk mewakili Thailand B-23 Tahun pada kejohanan AFC B-23 pada Jun tahun lalu.

Sebelum ini, Odense berada di Thailand selama sebulan bagi menjalani latihan musim sejuk dan perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan dan Sabah serta Terengganu.

Ketika ini, selain Mickelson, hanya seorang sahaja pemain dari negara skuad Gajah Perang itu beraksi di liga ternama Eropah iaitu Thanawat Suengchitthawon dimana beliau beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Leicester City.