Kehangatan perlawanan akhir kejohanan AFF Suzuki Cup 2018 dicemari dengan isu ketiadaan tempat duduk didalam Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi apabila ramai penyokong yang hadir gagal untuk mendapatkan tempat duduk walaupun mempunyai tiket.

Keadaan itu bukan sahaja berlaku ditempat duduk terbuka dengan tiket berharga RM40 tetapi juga turut berlaku dibahagian tempat duduk VIP serta kawasan pihak media yang mengakibatkan gangguan ketika menjalankan tugas.

Walaupun pengumuman rasmi kehadiran penonton di stadium malam tadi sebanyak 88,842 orang, angka itu jelas tidak menunjukkan keadaan sebenar yang berlaku di stadium. Lihat gambar-gambar yang dimuat naik oleh mereka yang hadir dibawah untuk menyaksikan realiti sebenar.

https://twitter.com/jimiecheng/status/1072507755943129088

Dibahagian VIP pula, ada para jemputan yang tidak berjaya duduk kerana limpahan penyokong Vietnam yang telah dibenarkan duduk dikawasan VIP dan perkara ini mengakibatkan ada diantara jemputan yang beredar dari kawasan itu.

Manakala dibahagian petugas media pula, dibanjiri oleh para penyokong Vietnam serta jemputan VIP yang duduk dikawasan kerusi petugas media dan ini telha mengakibatkan ramai wartawan dari Malaysia serta Vietnam tidak mempunyai tempat duduk untuk melakukan tugasan mereka. Perkara itu belum mengambil kira berapa ramai yang berdiri dipagar, serta duduk ditangga.

https://twitter.com/zulhilmibzainal/status/1072471767430676480

Keadaan sesak seperti ini bukan sahaja menggangu tugasan pihak yang berkenaan tetapi apa yang lebih menjadi perhatian adalah keselamatan semua yang hadir pada perlawanan itu.

Limpahan ini juga jelas menunjukkan bahawa ada kelompongan terutama dibahagian keselamatan yang telah membenarkan situasi ini berlaku.

Adalah satu penipuan besar jika pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia dan juga para petugas mereka tidak nampak mengenai perkara yang berlaku ini dan mereka perlu memberikan penjelasan lanjut bagaimana bilangan penonton seramai ini boleh ‘terlepas masuk’ ke Stadium Nasional Bukit Jalil jika benar bilangan tiket yang dijual adalah 80,000 keping.

Video dari Ian Johan Ariff ini sekali lagi menjadi bukti kukuh bahawa kehadiran penonton semalam bukan 88,842 orang seperti yang diumumkan dan isu keselamatan penyokong didalam stadium menjadi taruhan tanpa sebarang kesedaran.

Perkara ini bukan baru berlaku dan siapa yang berada ditempat kejadian tahu betapa ini adalah situasi yang tidak sepatutnya berlaku. Kekecewaan mereka muncul walaupun perlawanan masih belum bermula dan sudah tiba masanya pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan sebelum perkara tidak diingini berlaku.

Beratur sekurang-kurangnya 12 jam untuk mendapatkan tiket dikaunter, sistem tiket online yang pincang dengan harga RM40 tetapi tiada tempat duduk dan terpaksa menyelit ditepi tiang untuk menyaksikan pasukan kebangsaan beraksi bukan satu pengalaman indah untuk penyokong.