Walaupun usia bakal menginjak 42 tahun, bisa dan pengalaman penyerang berpengalaman negara, Indra Putra Mahayuddin, masih kekal ditagih apabila menjadi sandaran terbaharu Kelantan United FC.
Baca Juga:
- Gol Indra Putra Ke Gawang China Tersenarai Dalam “AFC Cup Greatest Goal”
- Indra Putra Belum Terfikir Untuk Bersara Daripada Sukan Bola Sepak
- Kelantan United Perkenal Logo Baharu Yang Lebih Kemas
Kesudian pasukan yang digelar ‘The Green Deers’ itu membuatkan Indra berasa terharu lantas sedia mencurahkan segalanya bagi membantu Kelantan United menghadirkan cabaran sengit dalam saingan Liga Malaysia 2023.
Malah, Indra membayangkan Kelantan United ada kualiti tersendiri di bawah kendalian Tomas Trucha selain membawa masuk sebahagian besar pemain baharu termasuk bakat-bakat muda.
“Terima kasih kepada Kelantan United sebab masih menerima saya untuk bermain dan ini akan menjadi tanggungjawab buat saya untuk membawa pasukan melangkah jauh.
“Saya tidak mahu Kelantan United hanya sekadar melengkapi cabaran di Liga Super atau dilihat sebagai pasukan kerdil.
“Kami mahu menghadirkan satu saingan sengit terutamanya di Liga Super dan cuba melangkah lebih jauh dalam semua pertandingan.
“Cuma satu cabaran saya ialah mendapatkan kembali kecergasan bermain di perlawanan kompetitif kerana musim lalu saya jarang bermain di Perak atas situasi yang menimpa pasukan.
“Jadi saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menempatkan diri ini dalam barisan kesebelasan utama,” katanya kepada MFL.
Walaupun usia bakal menginjak 42 tahun, bisa dan pengalaman penyerang berpengalaman negara, Indra Putra Mahayuddin, masih kekal ditagih apabila menjadi sandaran terbaharu Kelantan United FC.#LigaMalaysia2023
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 7, 2023
Ini bakal menjadi penampilan musim ke-22 selepas memulakan karier profesionalnya di Perak pada musim 2002 dan telah bermain dengan banyak pasukan ternama Liga Malaysia seperti Pahang, Selangor, Kelantan, T-Team FC, Felda United FC dan Kuala Lumpur.
Selain Indra, Kelantan United turut menandatangani beberapa pemain berpengalaman lain seperti Abdul Latiff Suhaimi, Syazwan Zainon, Fandi Othman dan Khairu Azrin Khazali.
Dalam pada itu, seorang lagi pemain baharu yang menarik perhatian peminat Kelantan United ialah Morgaro Gomis, yang pernah bermain di Kelantan pada musim 2016 hingga 2018.
Kelibatnya di beberapa aksi persahabatan setakat ini banyak membantu jentera tengah Kelantan United biarpun pemain yang berasal dari Senegal itu telah menjangkau usia 38 tahun.
“Usia hanyalah angka dan kekuatan fizikal saya masih berada di tahap terbaik, itu menjadi faktor utama Kelantan United memanggil saya datang ke sini.
“Saya memang ada terfikir untuk kembali ke sini pada satu hari nanti cuma tidak jangka lebih lama dari apa yang saya sangkakan.
“Jadi, kembalinya ke Kelantan walaupun dengan pasukan berbeza, sudah cukup menggembirakan saya dan harap boleh ulangi persembahan sama seperti mana saya dengan Kelantan, beberapa musim lalu,” katanya.