Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain menganggap aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam esok tidak akan sama dengan perlawanan final Piala FA 2022 selain mahu penyokong tetap memberikan sokongan penuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Bakal berdepan lawan sama untuk aksi final Piala FA, beliau menyifatkan perlawanan malam esok pastinya akan lebih berbeza di mana para pemain juga akan dapat memberikan fokus lebih baik kepada saingan liga apabila sebelum ini berdepan aksi padat untuk misi layak ke final.
Jelasnya, misi tiga mata tetap menjadi keutamaan bagi memastikan rekod bersih tanpa kalah di laman sendiri kekal selain mahu terus mendaki kedudukan yang lebih baik di pentas liga.
“Bagi saya aksi malam esok tidak akan sama macam final sebab kita tahu suasana di final pasti akan berbeza berbanding liga.
“Tetapi apa pun mungkin penyokong akan tertunggu-tunggu aksi lawan JDT di final berbanding perlawanan malam esok, cuma kami tetap memerlukan sokongan mereka untuk aksi ini.
“Sekarang pun kita sudah kembali beri perhatian kepada saingan liga untuk rebut kedudukan lebih baik dan pemain-pemain juga dah boleh fokus 100 peratus sebab sebelum ini aksi Piala FA dan liga agak rapat”, jelasnya.
Dalam masa sama, Nafuzi tidak gusar meskipun kehilangan beberapa tonggak seperti Faisal Abdul Halim dan Tchetche Kipree susulan tahap kecergasan yang tidak memuaskan dan bersedia melakukan perubahan pemain.
Dan kembalinya Kpah Sherman untuk perlawanan malam esok pastinya akan memberi kelainan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Terengganu.
“Faisal dan Kipree masih belum cergas sepenuhnya manakala Petrus Shitembi dan Habib Haroon juga masih 50-50 untuk diturunkan malam esok.
“Tetapi Kpah Sherman dah kembali dan saya akan tengok juga keadaan pemain lain di mana saya percaya dengan semua pemain yang saya ada sekarang”, tambah Nafuzi lagi.
Terengganu FC kini di tangga kelima Liga Super dengan 17 mata setakat ini manakala JDT kekal di takhta liga dengan 35 mata.