Bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mahu membawa pasukan yang dikendalikannya ketika ini, Atlas untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab dari Selatan itu.
Perkara ini dinyatakan oleh Mora di laman media sosial Instagram miliknya dimana beliau membalas komen yang ditulis oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ).
“Bos bila kita boleh pergi ke Johor dan bermain menentang JDT? Lebih baik sebelum mereka pecat saya. Tahniah di atas pencapaian cemerlang dalam semua saingan,” kata Benjamin Mora.
[caption id="attachment_226175" align="alignnone" width="788"] Benjamin Mora[/caption]
Mora berpisah dengan JDT pada Julai tahun lalu dan digantikan dengan jurulatih dari Argentina iaitu Hector Bidoglio.
Dalam satu sesi wawancara, TMJ mendedahkan sebab utama mengapa beliau menggantikan Mora dengan Bidoglio.
“Saya masih rapat dengan Benjamin Mora. Dia sudah lama berbincang dengan saya. Apabila dia rasa masa sudah tamat, apabila dia tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya dan respon daripada pemain adalah lain terhadap dia, maka ia adalah masa yang sesuai untuk dia berhijrah.
“Kita sudah ada persetujuan dimana pasukan melepaskan dia kerana kita perlu seorang ketua jurulatih yang boleh menjaga kestabilan pasukan.
“Pemain perlu seorang jurulatih yang boleh memberikan arahan, hormat dan juga menjaga kestabilan bilik persalinan,” katanya.
Sepanjang mengendalikan pasukan, Benjamin Mora merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan turut membawa pasukan tersebut ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun lalu.
Beliau telah mengendalikan sebanyak 148 perlawanan sepanjang dua kali menggalas tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan. Satu pencapaian yang baik oleh jurulatih dari Mexico itu.