Argentina meneruskan impian juara dengan mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 selepas berjaya menundukkan Belanda 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi penuh dramatik, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Van Gaal Yakin Belanda Akan Kalahkan Argentina Dan Jumpa Brazil
- Argentina vs Australia: Magis Messi Bantu La Abiceleste Singkir Socceroos
- Argentina vs Mexico: Messi Cemerlang Selamatkan Argentina Daripada Tersingkir
Permainan terpaksa dilanjutkan sehingga ke penentuan sepakan penalti apabila aksi 120 minit terikat 2-2 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Lusail Iconic Stadium, Qatar itu.
Kemenangan yang cukup mendebarkan itu sekali gus mengesahkan pertemuan Argentina dengan naib juara edisi lalu, Croatia bagi merebut slot ke pentas final.
Ketika ramai yang menjangkakan satu aksi menarik dapat disaksikan, tanggapan itu sedikit meleset terutamanya pada babak pertama kerana tiada serangan yang begitu berbahaya dapat dijelmakan selain daripada gol pertama Argentina.
Namun, segalanya berubah pada lewat separuh masa kedua dengan kebangkitan dramatik ditampilkan Belanda.
Jaringan pembukaan Argentina hadir pada minit ke-35 berpunca hantaran lolos menarik dilakukan Lionel Messi yang memberikan ruang kepada pemain pertahanan, Nahuel Molina untuk memasuki kawasan penalti sekali gus menewaskan Andries Noppert.
Aksi selepas itu tidak dapat yang boleh diperkatakan apabila kedua-dua pasukan kelihatan ketandusan idea untuk membuka peluang bagi menghadirkan percubaan ke arah pintu gol lawan masing-masing.
Sehinggalah memasuki minit ke-63 dimana sepakan percuma Lionel Messi sudah pun berjaya menewaskan Noppert tetapi hanya sedikit melewati palang gol.
Kehampaan itu ditebus Messi pada minit ke-73 selepas beliau menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Denzel Dumfries terhadap Marcos Acuna dalam kawasan penalti.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Louis Van Gaal memasukkan penyerang gantian, Wout Weghorst pada lewat permainan dan tindakannya itu benar-benar membuahkan hasil pada minit ke-83.
Weghorst yang menerima hantaran jauh daripada Steven Berghuis berjaya menanduk masuk bola untuk menewaskan Emiliano Martinez bagi merapatkan defisit jaringan.
Gol itu nyata menyalakan kembali harapan skuad Oranje untuk menambah jaringan kedua. Tetapi, rembatan padu dilakukan Berghuis dari luar kawasan penalti berselang dua minit kemudian membias terkena pertahanan.
Weghorst membuatkan para penyokong Argentina yang sudah mula berpesta menanti kemenangan terdiam apabila beliau menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-11 masa kecederaan.
Jaringan itu terhasil susulan sepakan percuma bijak diambil Teun Koopmeiners yang hanya melakukan hantaran rendah kepada Weghorst dan kemudiannya penyerang berusia 30 tahun itu tidak mensia-siakan peluang sekali lagi menewaskan Martinez.
Kebangkitan dramatik yang terus membawa aksi ke masa tambahan 30 minit untuk mencari pemenang mutlak pada perlawanan ini.
Argentina kelihatan lebih berbahaya dengan beberapa serangan berbahaya dilancarkan ke kubu Belanda tetapi percubaan Lautaro Martinez daripada luar kawasan penalti diselamatkan Noppert manakala rembatan Enzo Fernandez dan tandukan German Pazella sekadar melewati palang gol.
Percubaan Fernandez pada lewat permainan juga hanya singgah di tiang gol untuk permainan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol, Emiliano Martinez muncul wira buat Argentina apabila beliau cemerlang menafikan sepakan daripada Virgil van Dijk dan Steven Berghuis manakala Messi, Paredes, Gonzalo Montiel dan Lautaro Martinez menyempurnakan sepakan untuk membawa La Albiceleste ke separuh akhir.
Sepakan penalti
Belanda
1) Virgil van Dijk – Diselamatkan Emiliano Martinez
2) Steven Berghuis – Diselamatkan Emiliano Martinez
3) Teun Koopmeiners – Gol
4) Wout Weghorst – Gol
5) Luuk De Jong – Gol
Argentina
1) Lionel Messi – Gol
2) Leandro Paredes – Gol
3) Gonzalo Montiel – Gol
4) Enzo Fernandez – Sepakan tersasar
5) Lautaro Martinez – Gol