Skuad TRW Kelantan bakal diperkuatkan oleh pemain import berpengalaman apabila dilaporkan membawa masuk bekas pertahanan kelab La Liga, Miguel Cifuentes dari Sepanyol.

Baca Juga:

Perkembangan itu disahkan sendiri oleh pemilik TRW Kelantan, Norizam Turkiman atau dikenali sebagai ZamSaham melalui satu kenyataan di laman facebooknya.

Menurut ZamSaham, pemain yang berusia 32 tahun itu dalam perjalanan ke Malaysia dan dijangka akan diumumkan secara rasmi minggu ini.

TRW Kelantan merupakan kelab pertama dari Asia disertai oleh Miguel Cifuentes kerana beliau banyak menghabiskan karier bola sepaknya beraksi di Sepanyol termasuk La Liga, antara liga yang popular di eropah.

Beliau merupakan produk akademi bola sepak Elche dan pernah membantu Elche B menjuarai Liga Segunda (Divisyen 2 Sepanyol) pada musim 2012-13.

Beraksi di posisi pertahanan kanan, Cifuentes juga mempunyai pengalaman La Liga apabila menyertai Malaga CF selama 5 tahun dan telah menjaringkan 4 gol dalam 60 penampilan.

Kemudian, beliau dipinjamkan ke kelab divisyen 2 Sepanyol sebelum kembali semula ke Elche pada musim 2020-2021. Kelab terbaharu yang disertainya pada musim lepas  ialah UD Ibiza namun khidmatnya tidak disambung.

Kehadiran Cifuentes menjadi harapan para penyokong TRW Kelantan untuk memperkuatkan benteng pertahanan yang didapati agak goyah dalam beberapa perlawanan pra musim.

Kelantan kini dibimbing oleh jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon Sik dan sedang giat untuk membentuk barisan terbaik bagi menghadapi saingan Liga Super yang lebih mencabar pada musim ini.

Pada musim 2022, pasukan itu berjaya menduduki tangga kedua Liga Premier sambil layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia.