Bekas penyerang prolifik pasukan Selangor, Bambang Pamungkas dikhabarkan bakal mengakhiri karier sebagai pemain bola sepak profesional setelah perlawanan Liga 1 Indonesia musim 2019 menentang Persebaya Surabaya hari ini.

Perkara ini menjadi perbincangan setelah Bambang memuat naik post menerusi laman media sosial Twitter miliknya dengan menggunakan hashtag #AlmostThere.

Selain itu, kelab yang diwakili Bambang ketika ini, Persija Jakarta turut memuat naik satu video di laman media sosial Instagram pasukan dengan menggunakan hashtag #LagaPamungkas yang bermaksud perlawanan terakhir.

Bambang Pamungkas sememangnya mempunyai karier yang dianggap luar biasa dimana beliau telah memenangi beberapa kejuaraan utama di Liga Indonesia dan juga Malaysia.

Pemain berusia 38 tahun itu pernah membantu Persija memenangi saingan Liga Indonesia pada musim 2001 dimana beliau turut memenangi anugerah Pemain Terbaik.

Bambang Pamungkas
Bambang Pamungkas ketika berseragam Timnas Indonesia pada 2010. (Foto: Fifa.com).

Ketika beraksi bersama Selangor di samping rakan sepasukan di skuad Garuda, Elie Aiboy, Bambang membantu skuad The Red Giants memenangi gelaran treble iaitu kejuaraan Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia. Selain itu, pemain yang mempunyai kelebihan dari segi tandukan ini turut meraih anugerah Penjaring Terbanyak Liga.

Bersama skuad Garuda, pemain kelahiran Semarang itu membantu Indonesia muncul naib juara saingan Piala AFF dalam tiga edisi iaitu 2000, 2002 dan 2010.

Bambang Pamungkas bakal mengakhiri karier sebagai penjaring kedua terbanyak pasukan kebangsaan Indonesia dengan catatan 38 gol dalam 86 penampilan. Beliau berada di belakang Soetjipto Soentoro yang mempunyai catatan 68 jaringan.

Baca artikel lain mengenai pasukan kebangsaan Indonesia di sini:

Bertemu PSSI, Presiden Jokowi Singgung Liga Indonesia Dan Piala Dunia U-20 2021

PSSI Pastikan Vincenzo Annese Tak Latih Timnas Indonesia

Shin Tae-yong Bantah Kabar Latih Shenzheng FC, Peluang Besar Untuk Indonesia