Isu tunggakan gaji bekas pemain Sarawak United sehingga hari ini masih belum menemui jalan penyelesaian dimana mereka kembali menggesa agar bekas majikan segera melangsaikan hutang sedia ada.

Menerusi perkongsian No Context Bola Malaysia, dua bekas pemain Sarawak United iaitu Taylor Regan dan Stuart Wark meminta agar pasukan itu segera melunaskan tunggakan gaji.

Regan menulis Sarawak masih berhutang gaji 10 bulan kepadanya manakala Wark masih belum menerima tunggakan tiga bulan gaji ketika beraksi bersama kelab tersebut.

Selain isu tunggakan gaji bekas pemain Sarawak, bekas pemain Melaka United juga menerima nasib yang sama apabila sehingga saat ini rata-rata dari mereka masih belum menerima tunggakan gaji.

Seorang individu yang bernama Husni memberitahu kepada Vocket FC beliau merupakan ahli fisioterapi bagi skuad Piala Presiden Melaka musim lepas dan belum menerima tunggakan gaji sebanyak tiga bulan.

Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini telah mengadakan satu perbicaraan National Dispute Resolution Chamber (NDRC) atau turut dikenali sebagai Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan kali kedua yang diadakan di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada 7 April lalu.

“Sesi perbicaraan pada kali ini memperdengarkan kes tunggakan gaji bagi musim lepas bagi 18 orang pemain Melaka United FC dan 16 orang pemain Sarawak United FC.

“Perbicaraan NDRC kali ini amat penting dalam menentukan hala tuju penguatkuasaan keputusan yang dikeluarkan oleh NDRC untuk dihormati oleh pasukan. Keputusan dijangkakan akan dikeluarkan oleh NDRC dalam tempoh yang terdekat.

“PFAM sangat komited dalam memperjuangkan dan membantu komuniti pemain bola sepak profesional secara keseluruhan dari segi kebajikan serta pembangunan pemain dan diharapkan dengan penubuhan NDRC di Malaysia, hak pemain akan terus terbela,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh PFAM.