Bekas pemain import PKNS FC, Bruno Matos semakin hampir untuk meninggalkan kelab terkini beliau, Persija Jakarta dan menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Liga Thailand setelah tidak lagi menjadi pilihan ketua jurulatih Persija, Julio Banuelos untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.
Sejak Banuelos dilantik sebagai pengendali pasukan bagi menggantikan jurulatih sebelumnya, Ivan Kolev, Bruno sering memanaskan bangku simpanan dan tempat beliau diisi oleh pemain lain. Baru-baru ini, ketika Persija menghadapi Bhayangkara FC di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi, nama Bruno tidak disenaraikan dalam matchday squad dan beliau hanya menonton perlawanan dari tempat duduk VIP.
Menurut laporan Bolalob, gaya permainan Bruno Matos yang terlalu individualistic menyebabkan Banuelos kurang gemar untuk menurunkan beliau dalam kesebelasan utama dan menganggap Bruno akan merencatkan corak permainan pasukan.
Menurut ejen Bruno, Fabio Barbosa, terdapat beberapa tawaran daripada kelab Thai League bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 29 tahun itu. Jika Persija menganggap corak permainan Bruno sudah tidak sesuai dengan pasukan, maka juara bertahan saingan Liga 1 itu perlu membuat keputusan sama ada mahu melepaskan pemain dari Brazil itu atau sebaliknya.
“Kalau perkata itu (corak permainan) dianggap sebagai masalah, maka Persija harus membuat keputusan kerana banyak kelab yang mahu mendapatkan khidmat Bruno seperti kelab dari Indonesia, Thailand dan Malaysia. Persija tidak akan mendapatkan pemain seperti Bruno pada masa akan datang. Di Indonesia tiada pemain yang sama taraf dengan Bruno. Beliau berada di satu tahap yang tersendiri,” kata Barbosa.