Baru-baru ini, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita mengenai penahanan bekas pemain kelab gergasi Liga Super bersama rakannya kerana didakwa melakukan jenayah pecah rumah sekitar daerah Pontian, Batu Pahat, Tangkak dan Muar.
Baca Juga:
- Terlibat Kes Pecah Rumah, Bekas Pemain Liga Malaysia Ditahan Polis
- Polis Tumpaskan ‘Geng Eddy’ Yang Dianggotai Bekas Pemain Liga Malaysia
- Pukul Teman Wanita, Pemain Sabah Ditahan Polis
Ketua Polis Pontian, Mohammad Shofee Tayib sebelum ini mengesahkan ‘Geng Eddy’ yang dianggotai lima lelaki termasuk seorang bekas pemain bola sepak profesional, Mohd Azinee Taib terlibat dalam 13 kes pecah rumah.
Beliau berkata geng berkenaan dipercayai mula aktif semenjak Mei lepas, dengan menjadikan rumah yang kosong pada siang hari sekitar pukul 2 hingga 3 petang setelah pemiliknya keluar bekerja, sebagai sasaran.
Bagaimanapun, Azinee yang pernah beraksi bersama pasukan Penang dan JDT itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pecah rumah serta memiliki harta curi selepas didakwa di Mahkamah Majistret semalam.
MAHKAMAH | Bekas Pemain Liga Super Didakwa Pecah Rumah https://t.co/nsDPOf0249
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 30, 2023
Bagi pertuduhan pertama, beliau dituduh bersama-sama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas telah memecah masuk ke sebuah rumah di Taman Benut Utama, Benut untuk mencuri pada 8 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, Azinee dituduh bersama-sama dua rakannya, Muhammad Hairul Hafiz Muzaren dan Khairul Akmal Zainol Abidin telah memecah sebuah rumah di Taman Cendana, Benut jam 1.15 petang pada 3 Julai lalu.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 14 tahun penjara dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Azinee dituduh menyimpan harta curi membabitkan sebuah telefon bimbit jenama OPPO A5 bewarna putih milik mangsa rumah yang dipecah masuk.
Kesalahan itu dilakukannya di Jeti Nelayan Ayer Baloi, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, pada 3 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. Nurezzati mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin sementara perbicaraan kes berjalan.
Namun begitu, Mohd Azinee yang kini bekerja di pasar merayu mahkamah merendahkan jaminan dengan mengambil kira pendapatannya hanya sekitar RM1,000 sebulan selain perlu menanggung lima anak, ibu dan ayahnya.
Majistret Nur Azzuin memerintahkan kesemua tertuduh dijamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta menetapkan sebutan kes pada 30 Ogos depan bagi serahan dokumen.