Pendatang baharu Liga Super 2020, PDRM FA kali ini bakal diperkuatkan seorang penyerang skuad kebangsaan Grenada iaitu Antonio German yang pernah beraksi dalam kelab Liga Super India, Balestier Kerala.
Pengendali skuad itu, Ishak Kunju Mohamed mengesahkan perkembangan tersebut dalam The Star walaupun German sebelum ini pernah terlibat dalam kontroversi berkaitan isu perkauman dengan pasukan Selangor pada musim lepas.
Malah, pemain yang berusia 29 tahun itu turut menjadi mangsa kritikan oleh penyokong gergasi merah kerana gagal mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan.
Dalam laporan BBC, German turut mendedahkan terdapat segelintir peminat Selangor pernah melontarkan kata-kata berbaur perkauman seperti beliau ‘terlalu gelap’ untuk beraksi bersama pasukan itu.
“Saya akui ini akan menyukarkan beliau selepas apa yang terjadi pada musim lepas tetapi saya menandatanganinya kerana dia berjaya memikat kami. Ada pemain lain yang sedang dalam percubaan tetapi German telah memenuhi kriteria yang saya mahukan.
“Dia boleh menyudahkan peluang terhidang dan kelihatan lebih tajam ketika dalam latihan dan perlawanan persahabatan. Dia juga beritahu saya mahu tutup mulut pengkritik dan bangkit semula. Mungkin di Selangor, tekanan terlalu tinggi. Dengan Polis, tekanan tidaklah begitu terasa,” kata Ishak seperti dipetik dalam The Star.
Selain itu, Ishak turut mengesahkan PDRM telah menandatangani dua pemain skuad kebangsaan Turkmenistan yang beraksi dalam saingan Piala Asia 2019 iaitu Serdar Geldiyev and Shohrat Soyunov.
Geldiyev yang bermain di posisi tengah sebelum ini beraksi dengan kelab Altyn Asyr dalam liga utama Turkmenistan manakala Soyunov merupakan pemain pertahanan berpengalaman yang mempunyai 32 kaps dengan skuad negaranya.
Ini kali pertama kedua-dua pemain itu beraksi di luar Turkmenistan dan PDRM merupakan kelab asing pertama mereka.
“Mereka kelihatan sangat bagus dan ini adalah apa yang kami mahukan daripada mereka. Kami juga mempunyai calon pemain dari Korea Selatan tetapi perpindahan itu tidak jadi kenyataan.
“Kami sedang mencari seorang lagi pemain import untuk kuatkan pasukan,” jelas Ishak.
PDRM akan menentang Terengganu FC pada 22 Februari ini bagi menguji keserasian antara pemain sebelum menghadapi Sabah dalam perlawanan pertama Liga Super.
Baca kisah Antonio German bersama Selangor pada musim lepas yang mungkin anda terlepas pandang.
Antonio German: Perbezaan Warna Kulit Memaksa Saya Tinggalkan Selangor