Bekas pemain Sarawak United bertindak mengkritik kelab tersebut ekoran masih lagi gagal untuk melunaskan tunggakan gaji dari musim lalu.
Baca Juga:
- PFAM Dedah Tunggakan Gaji Melaka United Bernilai RM2.3 Juta
- Tiada Lagi Sarawak United Dan Melaka United Dalam Liga Super Musim Depan
- Bekas Pemain Melaka United Dedah Tunggakan Gaji Enam Bulan Belum Selesai
Bekas pemain yang dimaksudkan ialah Stuart Wark dan Sandro da Silva dimana kedua-kedua pemain menulis komen di laman media sosial Facebook pasukan baru-baru ini.
Sarawak United mengumumkan mereka akan mengadakan majlis menandatangani kontrak bagi pemain yang akan menghadapi saingan Liga M3 musim ini dan perkara ini nyata menarik perhatian Wark dan Sandro.
Wark menulis komen yang memerli tindakan kelab yang menandatangani pemain baharu namun masih gagal untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dari skuad musim lalu.
Manakala Sandro mahu bekas pasukannya agar segera menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.
Namun, apa yang lebih menghairankan adalah tindakan pihak kelab yang mana mereka membalas komen Wark seolah-olah pasukan itu bukan sebuah kelab profesional.
Musim 2023 menyaksikan kelab dari Borneo itu terpaksa beraksi dalam saingan Liga M3 ekoran pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak rayuan kelab tersebut.
“Tahun depan SUFC dan Melaka United tidak mempunyai lesen untuk beraksi di Liga Super 2023. Kita berkomunikasi dengan dua kelab terbabit, namun keputusan sudah dibuat.
“Sekarang ini, kita akan menetapkan pasukan bertanding kepada 14 pasukan. Sejajar dengan peraturan ditetapkan MFL, dua pasukan ini tidak boleh lagi beraksi di Liga Super,” kata CEO MFL, Stuart Ramalingam.
Sarawak didapati gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila keputusan dibuat DRC FIFA terhadap bekas pemainnya iaitu Sandro Da Silva dan Taylor Regan.
Melaka United pula didapati tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.