Bekas kapten skuad bola sepak Perak FA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menceroboh bilik hotel didiami seorang wanita pada 21 Jun lalu.
Baca Juga:
- Terlibat Kes Pecah Rumah, Bekas Pemain Liga Malaysia Ditahan Polis
- Rizal Ghazali Didakwa Pukul Dan Rosakkan Telefon Bimbit Teman Wanita
- Dua Bekas Pemain Import Pertimbang Saman Perak FC
Ahmad Shahrul Azhar Sofian yang juga bekas pemain kebangsaan berdepan tuduhan melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bilik hotel didiami wanita berusia 36 tahun di sebuah hotel di Kelana Jaya.
Laporan polis kemudian dibuat oleh seorang lelaki selepas mendapati bekas pemain bola sepak terbabit menceroboh bilik hotel sebelum bertindak agresif hingga menyebabkan berlaku kekecohan.
Katanya, ketika kejadian, terdapat seorang wanita berada di dalam bilik itu yang juga isteri pengadu. Menurutnya, suspek dikatakan bertindak agresif hingga menimbulkan ketakutan terhadap wanita itu.
Bekas kapten pasukan bola sepak kebangsaan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menceroboh bilik hotel didiami kenalan wanita pada 21 Jun lalu. https://t.co/l3jZtsb40s
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 10, 2023
Kesalahan yang dilakukan oleh Ahmad Shahrul Azhar didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh.
Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM6,000, namun Suraj memohon jaminan rendah mengambil kira anak guamnya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan tujuh anak.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. Kes disebut semula pada 18 September ini untuk serahan dokumen.
Isu penangkapan membabitkan pemain bola sepak tempatan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Sebelum ini, seorang lagi bekas pemain skuad kebangsaan iaitu Rizal Ghazali ditahan oleh pihak polis atas tuduhan memukul serta merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya pada dua minggu lalu.
Bagaimanapun, Rizal mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Rizal didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hani Farhana Hasrul Sani dengan memukul wanita itu di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya pada jam 6 pagi, 7 Jun lalu.