Pertahanan kanan Indonesia, Asnawi Mangkualam secara rasmi meninggalkan Ansan Greeners untuk menyertai kelab divisyen 2 Korea Selatan, Jeonnam Dragons dengan kontrak selama setahun.

Pemain berusia 23 tahun itu mula beraksi bersama Ansan bermula pada Februari tahun lalu. Setelah hampir dua musim, bekas pemain PSM Makassar itu tampil dalam 42 perlawanan dan menyumbang dua gol dan tiga bantuan gol.

Prestasi cemerlang bersama Ansan telah menarik minat Jeonnam Dragons untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut bagi menghadapi musim baharu Liga Korea Selatan.

“Selamat datang ke JDFC. Asnawi yang mempunyai ketinggian 174 cm serta fizikal yang kuat mempamerkan prestasi yang baik dalam K-League 2 apabila melakukan 40 penampilan, 2 gol dan 3 bantuan gol selama 2 musim,” tulis kenyataan rasmi Jeonnam Dragons.

Meskipun mempunyai baki kontrak semusim dengan Ansan Greeners namun Jeonnam Dragons sanggup membayar baki pampasan kontrak untuk mendapatkan khidmatnya.

“Saya sedang dalam keadaan yang bagus ketika ini. Saya gembira dapat menyertai Jeonnam yang mungkin berpeluang ke divisyen 1 K-League. Jeonnam merupakan kelab yang terkenal dengan sejarah panjang bola sepak Korea. Saya akan lakukan yang terbaik,” jelas Asnawi.

Selain Asnawi, ada seorang lagi pemain dari rantau Asia Tenggara beraksi di divisyen 2 Korea Selatan iaitu pemain skuad Harimau Malaya, R.Kogileswaran yang menyertai Chungbuk Cheongju.

Musim lalu, Chungbuk beraksi di divisyen ketiga dimana mereka menamatkan saingan di tangga ke-14 daripada 16 pasukan yang bertanding. Bagi saingan musim 2023, kelab tersebut bakal beraksi dalam saingan K2 dengan satu lagi kelab iaitu Cheonan City.