Barisan kejurulatihan Harimau Malaya sempat meluangkan masa berada di Sepanyol selama seminggu bagi tujuan lawatan teknikal ke beberapa kelab terkemuka negara itu.

Baca Juga:

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dalam hantaran di laman Facebooknya, lawatan tersebut diketuai oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon, turut disertai pembantu jurulatih, Pau Marti; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Park Jihyeon dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun.

FOTO: FAM

Mereka berada di sana sejak 17 April 2023 dan berpeluang menyaksikan sesi latihan pasukan utama FC Barcelona, melawat fasiliti latihan kelab berkenaan serta bertemu beberapa pegawai dan staf kejurulatihan kelab termasuk pengurus FC Barcelona, Xavi Hernandez.

Pada 20 April 2023, Pan Gon dan staf kejurulatihannya turut mengunjungi sebuah lagi kelab Sepanyol yang bertempat di Barcelona iaitu Espanyol di sepanjang hari tersebut untuk melawat pusat latihan pasukan utama dan menghadiri seminar oleh jabatan metodologi.

FOTO: FAM

Sepanjang berada di Barcelona itu, mereka juga berkesempatan menyaksikan dua perlawanan La Liga 2022/23, Espanyol bertemu Cadiz pada Jumaat lalu serta FC Barcelona menentang Atletico Madrid pada Ahad, 23 April 2023.

Selain itu, Jihyeon Park dan Lim Jaehun juga telah ke Mallorca untuk menyaksikan satu lagi perlawanan La Liga, Mallorca bertemu Getafe pada Ahad dan seterusnya menyaksikan sesi latihan dan bertemu pegawai pasukan berkenaan pada Isnin.

Skuad Harimau Malaya dijangka akan kembali berkumpul pada bulan Jun ini bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kepulauan Solomons dan Yaman di Terengganu.

Pada jendela FIFA bulan lepas, pasukan negara bimbingan Kim Pan-gon berjaya mencatat dua kemenangan ketika berdepan Turkmenistan dan Hong Kong sekaligus memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA.

Malaysia memerlukan beberapa perlawanan lagi untuk naikkan mata ranking FIFA supaya berpeluang berada di balang undian yang lebih baik untuk saingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Hal ini kerana Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah merangka format baharu kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 untuk menentukan cara terbaik memilih pasukan ke Piala Dunia berdasarkan jumlah slot yang telah ditetapkan.