Kedah Darul Aman (KDA) FC difahamkan mengambil langkah drastik dalam usaha membina pasukan yang lebih mantap bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.

Baca Juga:

Menurut sumber laporan Flash Sukan, kelab yang tewas pada aksi separuh akhir Piala AFC 2022 Zon Asia Tenggara itu tidak memperbaharui kontrak lima pemain import iaitu Ronald Ngah Wanja, Mahmoud Al-Mardi, Sanrawat Dechmitr, Dechi Marcel Nguessan dan Marc Vales.

Langkah diambil itu bagaimanapun dilihat sebagai satu keputusan tepat kerana pengendali baharu Kedah yang bakal diumumkan nanti pastinya mahukan pemain import pilihan beliau sendiri.

“Marcos Vales Gonzales. Wanja Ronald Ngah, Dechi Marcel Nguessan, Sanrawat Dechmitr dan Mahmoud Nayef Ahmad Almardi telah beraksi bersama pasukan Kedah buat kali terakhir ketika kita bertemu Negeri Sembilan di Paroi Rabu lalu.”

“Ketika ini kami belum memutuskan lagi lima pemain import bagi musim 2023 hanya selepas menentukan ketua jurulatih baharu musim depan.”

“Saya yakin beberapa kesilapan yang dilakukan musim ini dijadikan sebagai teladan dan pelajaran untuk kita mempertingkatkan lagi usaha kita demi kejayaan pasukan musim 2023,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali.

Sebagai rekod, Ronald berjaya meledakkan 15 gol, Mahmoud dengan sembilan jaringan, Marc Vales mencipta dua gol manakala Sanrawat dengan Dechi masing-masing dengan satu jaringan dalam semua pertandingan disertai.

Selain itu, Khamal turut mendedahkan perubahan besar akan dapat disaksikan dalam kalangan pemain tempatan apabila pemain yang tidak memberikan sumbangan berkesan dan sering mengalami kecederaan juga bakal disingkirkan.

Kempen 2022 nyata bukanlah musim yang baik buat Kedah selepas skuad Kenari itu menamatkan saingan Liga Super ditempat kelapan hasil lapan kemenangan, tiga keputusan seri dan 11 kekalahan untuk mengumpul 27 mata. Pencapaian yang menyaksikan Aidil Sharin Sahak dipecat daripada tugasannya pada Oktober lalu.

Sementara itu, Kedah tewas pada pusingan kedua Piala FA menentang Terengganu dan perjalanan mereka dalam Piala Malaysia pula terkandas ditangan Negeri Sembilan [pusingan 16].

Sumber